HomeUtamaAPMM berjaya menahan 5 PATI, 3 daripadanya positif COVID-19

APMM berjaya menahan 5 PATI, 3 daripadanya positif COVID-19

Read Time:1 Minute, 43 Second

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Tawau berjaya menahan sebuah bot penumpang membawa lima Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di kedudukan dua batu nautika barat daya Tanjung Batu, dekat sini sekitar jam 11.45 malam, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, kesemua lima orang tahanan didapati tiga daripada PATI tersebut positif COVID-19 hasil ujian saringan pengesanan awal (RTK) dan mereka telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Siva, tangkapan ini berikutan hasil maklumat risikan mengenai terdapatnya bot penumpang tempatan yang menjalankan aktiviti membawa masuk PATI secara haram melalui perairan Tawau.

“Pemantauan melalui Ops Cegah PATI Selatan COVID-19 oleh bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan bot penumpang berpendaftaran tempatan itu bergerak dari arah sempadan perairan Indonesia – Malaysia menuju ke perairan Tawau dalam situasi mencurigakan.

“Berikutan itu bot ronda Maritim menuju ke arah bot tersebut untuk melakukan pintasan dan juragan bot telah bertindak agresif dengan memecut laju hingga hilang kawalan dan terbalik.

“bagaimanapun juragan serta lima penumpang di dalam bot tersebut berjaya diselamatkan dan diberkas anggota Maritim Malaysia,” katanya.

Siasatan awal mendapati juragan bot, lelaki warga tempatan berusia 17 tahun manakala lima penumpang terdiri dari dua lelaki dan tiga wanita merupakan warga Indonesia berumur diantara 15 hingga 58 tahun.

Namun, kesemua penumpang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan memberi alasan insiden bot terbalik menyebabkan kesemua dokumen jatuh ke laut.

Juragan serta kesemua penumpang telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 atas cubaan memasuki negara ini melalui laluan laut yang tidak diwartakan.

Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.

“Maritim Malaysia akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dengan cubaan membawa masuk warga asing ke negara ini,” tambah Siva.

Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan dalam memastikan undang-undang negara dipatuhi sepenuhnya.

Siva juga menyeru kepada orang ramai supaya salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999.

RELATED ARTICLES
Utama

ADUN Kiulu wujud Tabung Keusahawanan & Kepimpinan Belia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular