HomeSukanPemain ambil mudah selepas mendahului - Kim Swee

Pemain ambil mudah selepas mendahului – Kim Swee

Read Time:1 Minute, 43 Second

Kota Kinabalu : Pemain Sabah FC terus ‘dihantui’ dengan sikap lalai selain masih leka dalam permainan selepas mendahului perlawanan menentang Kuching City FC pada aksi Liga Super di Stadium Likas di sini semalam.

Meskipun berjaya mencatat kemenangan 4-3, Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, pasukannya bernasib baik apabila berjaya mendapatkan gol kemenangan pada lewat permainan selepas kedua-dua pasukan mengikat keputusan 3-3 sebelum itu.

“Kita mengambil mudah selepas kita mendahului dan ini memberi ruang kepada pasukan lawan untuk kembali dan apabila pasukan Kuching City mendapatkan gol pertama serta gol penyamaan ini memberi tekanan kepada kita.

“Namun, kita bernasib baik hari ini di mana kita berjaya mendapatkan gol kemenangan pada lewat permainan. Ini satu perkara positif menunjukkan pemain tidak mudah mengalah tetapi apabila kita dibolosi tiga gol itu satu perkara yang harus kita perbaiki lagi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Aksi malam tadi menyaksikan Sabah FC mendahului 2 – 0 pada separuh masa pertama, sebelum pemain Kuching City mengasak bermula awal babak kedua permainan hingga berjaya menyamakan kedudukan 3 – 3.

Kedudukan itu bagaimanapun berubah 4 – 3 seminit sebelum wisel penamat dibunyikan apabila penyerang import baharu Sabah, Ramon Machado de Macedo berjaya merembat gol keempat pada minit ke-93.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pemain import baharu Sabah FC, Ramon Machado, Kim Swee yakin kejayaan penyerang dari Brazil itu menjaring dua gol malam tadi dapat memberi keyakinan kepadanya untuk mengharungi perlawanan akan datang.

“Malangnya, Miguel Ángel Garrido Cifuentes pula mengalami sedikit kecederaan, jadi saya tidak boleh mengambil risiko untuk membenarkan beliau meneruskan permainan pada separuh masa kedua.

“Jadi kita perlu tunggu dan lihat pada perlawanan akan datang untuk memastikan mereka berada pada tahap yang terbaik,” katanya.

Selain dua gol dijaringkan Ramon Machado pada minit ke-26 dan ke-93, dua lagi gol Sabah FC malam tadi masing-masing disumbangkan Saddil Ramdani pada minit ke-11 dan Stuart John Wilkin (minit ke-57), manakala tiga jaringan Kuching City masing-masing dirembatkan Abu Kamara pada minit ke-66 dan ke-86 serta Amir Amri Salleh pada minit ke-54. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah FC nafi laporan berita pemainnya terbabit kejadian pesawat terhempas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular