HomeUtamaUsaha tangani perubahan iklim perlu bersepadu, seimbang - Dr. Joachim

Usaha tangani perubahan iklim perlu bersepadu, seimbang – Dr. Joachim

Read Time:3 Minute, 57 Second

KOTA KINABALU: Usaha menangani perubahan iklim perlu dilaksanakan secara bersepadu dan seimbang oleh semua pihak untuk memastikan kelestarian generasi sekarang dan pada masa hadapan. 

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, kunci untuk menyelesaikan krisis iklim adalah terletak pada pengurangan pelepasan dan transformasi masyarakat bagi menjaga kelestarian alam sekitar,” kata Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan ketika merasmikan Program Festival “I-HIJAU KKTP”: Inisiatif HIJAU KKTP, Aspirasi Sabah Maju Jaya 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
 
Dr. Joachim berkata, dunia sedang berhadapan dengan fasa Climate Emergency seperti banjir kilat, peningkatan dan pemanasan global serta ribut kencang yang memberi kesan secara langsung kepada kemusnahan harta benda, kemudahan awam dan kemusnahan alam. Selain perubahan suhu yang ketara juga dapat dilihat di kawasan pembangunan padat tanpa kawasan hijau yang menyumbang kepada kesan pulau haba. 

“Hal ini adalah perkara yang perlu kita tangani dan perlu dilaksanakan oleh semua lapisan pemegang taruh demi melestarikan persekitaran tempat kita tinggal. Kita perlu mempunyai tanggungjawab dan kesedaran yang tinggi dalam usaha menangani, mengurangkan dan mencegah impak negatif kesan perubahan iklim yang ketara,” tegasnya.
 
Beliau berkata, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Bangsa-Bangsa Bersatu antaranya dalam, Maltamat 11: Sustainable Development and Communities iaitu menyediakan kemudahan yang menyeluruh, selamat, berdaya huni dan mampan; Matlamat 13: Climate Action iaitu mengambil tindakan bagi menangani masalah perubahan iklim dan kesannya, Matlamat 15: Life On Land iaitu pemeliharaan dan pemuliharaan sumber alam semulajadi bagi menjaga kepelbagaian ekosistem dan khazanah alam. Namun, matlamat-matlamat ini hanya berakhir secara lisan dan atas kertas tanpa tindakan kita semua.
 
“Oleh sebab itu, polisi kerajaan menetapkan penyediaan minimum 10 peratus kawasan lapang kepada pemaju bertepatan dalam penyediaan persekitaran kondusif. Selain itu, pelaksanaan seperti Indeks Bangunan Hijau (GBI) diterapkan dalam reka bentuk binaan mengikut konsep kelestarian di mana tenaga, air, dan bahan digunakan dengan cekap,” ujarnya.
 
Justeru, beliau turut menekankan agar kepentingan analisis iklim dalam reka bentuk tidak hanya terhad kepada sesebuah kawasan. 

“Kita perlu melihat dari aspek yang lebih menyeluruh, sebagai contoh reka bentuk Smart City yang diintegrasikan dengan sistem rangkaian pejalan kaki dan berbasikal, sistem jalan raya dan pengangkutan yang berkonsepkan HIJAU. 

“Antara konsep HIJAU yang dimaksudkan adalah seperti pendigitalan lestari dan komponen HIJAU dalam penggunaan sistem lampu solar, sistem penuaian air hujan, material yang telap air (permeable paving), pemakaian 5R iaitu Refuse, Reduce, Recycle, Reuse & Recovery dan sebagainya…tidak hanya itu, pembiayaan dan pelaburan HIJAU untuk projek pembangunan mampan dan mesra iklim, termasuklah melalui kerjasama awam dan swasta, amat diperlukan,” katanya.

Menurut Dr. Joachim, peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah juga amat penting bagi mewujudkan bandar dan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan. 

Katanya, perancangan di setiap daerah perlu berlandaskan kepada pendekatan infrastruktur hijau untuk mengurangkan kesan pulau haba dan mengurangkan risiko bencana yang berkaitan dengan kebakaran, kemarau, dan banjir. 

“Usaha memberi pendedahan terhadap peranan dalam pembangunan lestari ke arah persekitaran hijau dan berdaya huni, serta menguar-uarkan usaha HIJAU kepada semua, hendaklah berterusan termasuklah agensi kerajaan, swasta, institusi pendidikan serta orang awam,” tambahnya.

Sebagaimana yang dirangka di dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya ke arah pembangunan lestari, katanya, pengetahuan dan amalan HIJAU amat penting dalam usaha meningkatkan kecekapan PBT dalam merancang pembangunan di kawasan pentadbiran masing-masing.
 
Justeru katanya, program Festival “I-HIJAU KKTP” ini dianjurkan sebagai salah satu langkah proaktif untuk melestarikan amalan hijau yang menyokong Pembangunan Lestari (Sustainable Development), Hala Tuju Sabah Maju Jaya – Pelan Pembangunan SMJ 1.0: 2021-2025, Dasar Landskap Negeri Sabah dan Inisiatif KKTP ke Arah Masyarakat Rendah Karbon.
 
“Sukacita saya ingatkan semula, pada 2 November 2022, sidang Jemaah Menteri telah bersetuju dan menerima Dasar Landskap Negeri Sabah sebagai usaha menggariskan hala tuju di peringkat negeri untuk memastikan pembangunan landskap negeri yang berkualiti, teratur dengan kesenibinaan landskap tersendiri serta persekitaran yang terpelihara.

“Melalui pelan tindakan kementerian di bawah dasar ini kelak, rancangan inisiatif-inisiatif HIJAU akan terus diperkasakan,” ujarnya.
 
Beliau melihat Program Festival I-HIJAU KKTP amatlah bersesuaian sebagai suntikan kepada ‘tadbir urus pembangunan ke arah masyarakat berdaya huni’. 

“Pentingnya kita menyentuh tentang tadbir urus kerajaan dan pembudayaan masyarakat rendah karbon dapat membantu mewujudkan persekitaran tempat tinggal lebih sejahtera.
 
“Saya percaya program seperti ini amat penting dan berfungsi sebagai platform untuk bertukar idea, dialog, kajian dan rangkaian dengan pakar agar dapat mempelajari amalan terbaik bagi menangani isu global masa kini. Pada sesi forum program ini, kementerian telah mengundang penceramah-penceramah daripada beberapa agensi yang relevan untuk berkongsi kepakaran mereka dan ilmu pengetahuan berkaitan dalam program ini,” katanya.

Presiden dan Pegawai Eksekutif PBT di bawah KKTP turut menurunkan tandatangan bagi deklarasi I-HIJAU sebagai tanda komitmen dan sokongan terhadap usaha ke arah kelestarian persekitaran ini, semasa program tersebut.

RELATED ARTICLES
Utama

ESSCOM lancar OGL Khas, lumpuhkan kegiatan JRS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular