HomeUtamaKYS terus beri fokus kepada pembangunan modal insan khususnya luar bandar

KYS terus beri fokus kepada pembangunan modal insan khususnya luar bandar

Read Time:2 Minute, 24 Second

Keningau : Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) akan terus memberi fokus kepada pembangunan modal insan bagi membawa perubahan kepada masyarakat khususnya di luar bandar.

Pengarah Yayasan Sabah Dato Sri Ghulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar berkata, program yang dibawa KYS adalah berpaksikan kepada Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, pelan SMJ merupakan hasil inisiatif Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang antara lain menekankan kepada keperluan bagi meningkatkan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

“Atas komitmen ini, KYS akan terus menyokong agenda pembangunan SMJ dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negeri yang progresif dan berjaya.

“KYS melalui Pusat Kraftangan Sabah (PKS) juga telah melaksanakan pelbagai program untuk membantu masyarakat menjana pendapatan melalui pembuatan kraf tangan. Ini adalah sebagai usaha untuk mengurangkan kemiskinan di negeri ini.

“Selain itu, dengan sokongan padu daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dalam pembiayaan dana program sejak 2012, PKS memberi juga fokus kepada Pembangunan Modal Insan dalam bidang kraf tangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Asrama PKS di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Datuk Kitingan.

Ghulam berkata, bermula tahun 2021, PKS telah mengorak langkah ke hadapan dengan penjenamaan semula program yang dijalankan iaitu Program Rural Integrated Craft Heritage (RICH).

Katanya, program RICH itu telah memberi fokus kepada pembangunan dan pemantapan keusahawanan para peserta program. 

“Menerusi program ini, para usahawan kraf tangan akan lebih mampan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran industri kraf tangan. Sejak tahun 2011 hingga 2023, hampir 22,000 orang telah mendapat latihan di PKS dalam pelbagai bidang kraf tangan seperti batik, rotan, buluh, perkayuan dan sebagainya. 

“PKS juga bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi seperti Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustian Malaysia (SIRIM) bagi mendapatkan khidmat nasihat pakar serta kemahiran dan teknologi dalam bidang-bidang tertentu,” katanya.

Menerusi Program Latihan Kraftangan dan Program RICH, PKS telah menyediakan platform kerjaya kepada bekas pesertanya. 

“Terdapat bekas peserta yang kini menjadi tenaga pengajar dalam bidang kraf tangan, tidak kurang juga yang menjadi usahawan kraf. Ada juga bekas peserta kita yang melanjutkan pelajaran  di Institut Kraf Negara di Rawang, Selangor. Inilah pulangan yang ingin kita lihat di mana masyarakat kita berdikari dan berjaya keluar daripada kekangan ekonomi masing-masing,” katanya.

Asrama tiga tingkat ini mempunyai dua blok lelaki dan wanita yang mampu menempatkan seramai 200 orang penghuni dalam satu-satu masa. 

Setiap blok asrama dilengkapi dengan 23 buah bilik  dengan kemudahan surau, ruang dobi serta pantri. Tidak dilupakan juga, asrama ini turut dilengkapi dengan tandas dan bilik mandi Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi memudahkan golongan ini menggunakan fasiliti yang ada. 

Pembinaan asrama ini yang menelan kos sebanyak RM17.67 juta adalah melalui pembiayaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri. Pembinaannya bermula pada 6 Mei 2021 dan telah disiapkan mengikut jadual dalam tempoh 24 bulan pada 3 Mei 2023. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular