HomeUtamaPembangunan infrastuktur sekolah sentiasa diambil perhatian

Pembangunan infrastuktur sekolah sentiasa diambil perhatian

Read Time:1 Minute, 42 Second

Menumbok : Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Penyu sangat fokus dan prihatin terhadap pembangunan infrastuktur sekolah bagi memastikan keselesaan warga sekolah sentiasa terjaga selain membantu meningkatkan tahap kecemerlangan para pelajar.

Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Penyu Dr Suntik Tuin berkata, ia juga merupakan antara komitmen PPD Kuala Penyu agar segala permohonan melibatkan pembangunan infrastuktur sekolah dapat diambil perhatian.

“Kita sangat fokus akan pembangunan infratuktur di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menumbok khususnya, kita tahu apabila sebuah sekolah sudah mencapai usia 50 tahun akan banyak kemudahan yang rosak.

“Untuk itulah, sebaik saya masuk ke PPD pada 2021, saya telah memberi fokus kepada permohonan pembangunan asrama sekolah ini dan syukur apabila pada tahun lalu projek ini mula dilaksanakan yang akan memuatkan seramai 150 pelajar lelaki dan 150 pelajar perempuan serta sebuah dewan makan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun SMK Menumbok di sini semalam.

Hadir sama Pengetua SMK Menumbok Flavia Sumin dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Abdul Rahman Mohd Taib.

Dr Suntik berkata, pihaknya yakin dengan kemudahan yang dibangunkan itu akan dapat memberi keselesaan kepada pelajar khususnya yang tinggal jauh dari sekolah berkenaan.

“Kita juga sedang memberi perhatian terhadap permohonan bagi membaiki jalan masuk ke beberapa kawasan di sekolah ini selain memasukkan peruntukan bgai mengatasi masalah banjir di sekolah ini.

“Selain itu, saya juga turut berbangga dengan kejayaan yang dicapai oleh sekolah ini yang mana tahun demi tahun telah menunjukkan kecemerlangan demi kecemerlangan khususnya dalam bidang akademik. Percayalah sekolah ini telah berada dalam laluan yang betul bagi menjana kecemerlangan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Suntik berkata, SMK Menumbok juga telah berjaya menjadi antara penyumbang kepada catatan keputusan terbaik bagi negeri Sabah melibatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Ini juga merupakan kesinambungan kecemerlangan yang baik.  Tanpa pengurusan, pentadbiran dan kerjasama warga sekolah, sudah tentu ini semua tidak akan dapat dicapai,” katanya.

Terdahulu, sambutan yang diadakan selama tiga hari berakhir semalam berjaya menarik pengunjung lebih 7,000 orang dengan pengisian pelbagai program khususnya kepada para belia. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular