HomeSukanPiala Malaysia : Sabah FC perlu manfaat bermain di laman sendiri

Piala Malaysia : Sabah FC perlu manfaat bermain di laman sendiri

Read Time:2 Minute, 3 Second

Kota Kinabalu : Sabah FC perlu mengambil peluang bermain di tempat sendiri untuk mendapatkan bekalan selesa pada aksi saingan suku akhir Piala Malaysia 2023 bulan depan selepas mudah mengatasi Kuching City FC dengan agregat 4-1 di Stadium Likas malam tadi.

Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, pasukannya juga tidak boleh mengambil mudah cabaran yang akan ditempuhi apabila skuad Sang Badak dijadualkan bertemu Perak FC pada saingan seterusnya.

Katanya, Perak FC bukan pasukan yang mudah untuk ditundukkan, terutama di bawah bimbingan ketua jurulatih baharu, Yusri Che Lah.

Datuk Ong Kim Swee

“Kalau kita lihat dari segi keputusan dan prestasi pasukan Perak, mereka bertambah baik selepas mendapat jurulatih baharu, Yusri yang mempunyai pengalaman begitu luas.  Mereka menewaskan pasukan pilihan, jadi bagi pasukan Sabah kita tidak boleh mengambil mudah.

“Jika kita mengambil sikap sambil lewa kita akan menerima hukuman seperti mana yang Kedah lalui.Kita perlu mengambil peluang bermain di tempat sendiri untuk mendapatkan bekalan yang selesa apabila berkunjung ke tempat lawan untuk aksi timbal balik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan kedua pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kuching City, di sini, malam tadi.

Skuad kendalian Yusri itu berjaya menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan agregat 4-3 walaupun tewas 2-1 dalam aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Jumaat lalu.

Sementara itu, mengulas aksi menentang Kuching City malam tadi, Kim Swee berkata anak buahnya masih hilang fokus dalam permainan hingga akhirnya memberi peluang kepada pasukan lawan membolosi gawang.

Katanya, keadaan itu menyebabkan keputusan terikat 1-1, tersasar daripada misi skuad Sang Badak untuk melakar kemenangan di laman sendiri.

“Kalau kita lihat dari segi keputusan sudah tentu kita inginkan kemenangan, namun dengan keputusan seri kita layak ke peringkat seterusnya. Itu lebih penting bagi saya. Namun kita dibolosi itu amat mengecewakan di mana kita hilang fokus apabila cuba untuk menyerang mendapatkan gol.

“Di situ kita leka dan mereka (Kuching City) dapat menyamakan kedudukan. Kita tahu Kuching City yang hadir pada hari ini bukan satu pasukan yang mudah untuk kita tewaskan kerana mereka mempunyai dua minggu persiapan sebelum bermain dengan kita,” katanya.

Dalam aksi malam tadi, Rizal Ghazali berjaya meledakkan jaringan untuk Sabah FC selepas menerima hantaran sepakan percuma daripada Saddil Ramdani pada minit ke-26.

Kedudukan tuan rumah mendahului perlawanan dengan 1-0 itu kekal sehingga permainan berhenti rehat, namun berubah pada babak kedua apabila pemain Kuching City, Rames Lai berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-57. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Para SUKMA : Ivan, Mukhriz cipta rekod baharu 400M T44,T47

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular