HomeUtamaLahad Datu kibar Jalur Gemilang gergasi semarak bulan kebangsaan

Lahad Datu kibar Jalur Gemilang gergasi semarak bulan kebangsaan

Read Time:1 Minute, 40 Second

BERNAMA

Lahad Datu : Usaha menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, GiatMARA Silam di sini membantu menghasilkan Jalur Gemilang gergasi setinggi tiga tingkat Pejabat Daerah Lahad Datu yang kemudian dipasang di bangunan pentadbiran berkenaan, hari ini.

Tenaga pengajar GiatMARA Habibah Ladali ketika ditemui berkata dua tenaga pengajar serta lima pelajar bertungkus lumus menyiapkan bendera gergasi sepanjang 9.144 meter dengan ketinggian 18.288 meter itu dalam tempoh dua minggu.

“Kita bekerja siang dan malam kira-kira 10 jam sehari bagi menyiapkan Jalur Gemilang ini, proses menghasilkan bermula pada 4 Ogos dan siap pada 16 Ogos, boleh disiapkan lebih awal lagi tetapi kami berdepan sedikit masalah teknikal, harapan kami usaha ini membantu menyemarakkan semangat Bulan Kebangsaan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam

Habibah ditemui pemberita selepas pelepasan program Konvoi Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 yang disempurnakan Pegawai Daerah Lahad Datu Firuz Idzualdeen Benetty Mohd Dzul di sini.

Dalam pada itu, Firuz Idzualdeen Benetty berkata pemasangan Jalur Gemilang gergasi itu di bangunan pejabat daerah merupakan idea jawatankuasa sambutan Bulan Kemerdekaan kerana lokasi strategik yang terletak di tengah bandar Lahad Datu.

“Idea ini direalisasikan dengan kerjasama pihak GiatMARA, semoga dengan berkibarnya Jalur Gemilang gergasi ini penduduk Lahad Datu turut merasai perasaan teruja untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan menyertai dalam apa jua aktiviti sempena Bulan Kebangsaan ini.

“Saya juga ‘menjemput’ agar pemilik-pemilik premis, kediaman dan kenderaan di sini untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah bersempena pelancaran kibarkan Jalur Gemilang ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua KMJG 2023 Jainisah Mohd Noor berkata program tahunan Jabatan Penerangan Malaysia itu bagi menyemai serta menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia di setiap daerah di Sabah.

“Perpaduan yang sedia terjalin haruslah dipelihara sambil meraikan kepelbagaian budaya yang ada agar kita kekal kuat dan tidak alpa, marilah juga bersama mempertahankan nikmat kemerdekaan yang dikecapi dengan memelihara keharmonian,” katanya yang juga Pengarah Jabatan Penerangan Sabah.

Konvoi KMJG 2023 sudah memasuki hari ke-13 kembara dan Lahad Datu merupakan lokasi ke 56 daripada 66 persinggahan keseluruhannya yang kini telah menjelajah sejauh 2,021 kilometer. BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Jemaah haji diharap jadi duta promosi TH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular