Kota Kinabalu : Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) terus menterjemah hasrat ‘Tiada hari tanpa operasi’ melalui pelaksanaan Operasi Bersepadu di Daerah Lahad Datu demi keselamatan dan kepentingan masyarakat di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).
Komander ESSCOM Deputi Komisioner Victor Sanjos berkata, operasi yang dilaksanakan selama dua hari berakhir semalam itu telah dikoordinasikan dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan Persekutuan dan Negeri.
Antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi penguatkuasaan Persekutuan dan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
Katanya, ia adalah sebagai jaminan pemeliharaan keselamatan awam serta memastikan kesejahteraan penduduk setempat di ESSZone berada pada tahap yang terbaik.
“Operasi bersepadu ini dilaksanakan di sekitar kawasan pasar umum serta penempatan berhampiran bandar dan pinggir bandar Lahad Datu yang bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai serta mengekang penyusupan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Selain itu, operasi itu juga menguatkuasakan undang-undang terhadap kesalahan-kesalahan lain khususnya di kawasan yang dikenal pasti menjadi kawasan tumpuan PATI,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Victor berkata, sepanjang tempoh operasi, sejumlah 870 pemeriksaan fizikal terhadap orang, 70 kenderaan darat serta 315 rumah dan premis telah dilaksanakan.
Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai empat PATI warganegara Indonesia dan Filipina telah ditangkap dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Lahad Datu atas kesalahan di bawah Seksyen 51(5)(b), Akta Imigresen 1959/63 untuk tindakan lanjut.
“Manakala, sebanyak lima keping saman trafik dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Di samping itu, empat kompaun telah dikeluarkan dan sebanyak dua buah kereta disita oleh Majlis Daerah Lahad Datu atas kesalahan tidak memiliki lesen perdagangan dan pengendalian makanan,” katanya.
Sementara itu, Victor berkata, selaras dengan kejayaan operasi itu, pihaknya merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan operasi berkenaan.
Katanya, kejayaan operasi ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan melalui Operasi Sanggah ESSCOM untuk memperkasa operasi-operasi sedia ada di bawah PDRM, ATM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
“Ini adalah bagi memastikan ancaman pencerobohan anasir asing dapat dikekang serta pemeliharaan keselamatan awam di pantai Timur Sabah kekal selamat dan terkawal.
“ESSCOM bertekad akan terus mempergiat operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah di ESSZone bagi mengekang elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di pantai Timur Sabah.
“Justeru, masyarakat diseru untuk menjadi mata dan telinga Kerajaan dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072,” katanya. – SABAH MEDIA/FOTO ESSCOM