HomeUtamaPersiapan KKB Sabah capai 90 peratus, berjalan lancar

Persiapan KKB Sabah capai 90 peratus, berjalan lancar

Read Time:1 Minute, 56 Second

Kota Kinabalu : Program Kembara Kenali Borneo (KKB) negeri Sabah yang bermula 3 September ini telah mencapai 90 peratus persiapan dengan diselaraskan secara bersama Istana Negara; Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, menerusi kembara itu, pihaknya berharap Kerajaan Persekutuan akan dapat terus meningkatkan peruntukan selain memberi komitmen yang tinggi bagi penyelenggaraan jalan persekutuan di Sabah.

“Dalam Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong, jajaran yang digunakan adalah jalan persekutuan dari Tawau hingga ke Sindumin yang mana jalan ini merupakan jajaran Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah yang sekarang ini sedang dinaik taraf secara berperingkat-peringkat.

“Sejak tahun lepas, beberapa kawasan terutama di antara Ranau sehingga ke Kinabatangan agak teruk, berlubang-lubang sehingga dimainkan oleh netizen sebagai jalan permukaan bulan.

“Namun demikian, berdasarkan peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk kerja-kerja penyelenggaraan yang diberi, maka keadaan jalan yang berlubang telah dapat diperbaiki mungkin tidak 100 peratus tetapi dalam keadaan yang lebih selamat dan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, pihaknya berharap hasil daripada lawatan Yang di-Pertuan Agong serta rombongan, mereka akan dapat melalui jalan yang selesa dan seterusnya dapat meningkatkan lagi komitmen daripada kerajaan persekutuan untuk menyalurkan peruntukan yang sewajarnya dalam usaha untuk menyelenggara jalan-jalan persekutuan yang ada di Sabah.

“Umum mengetahui, jalan-jalan ini sepatutnya sudah dinaik taraf sejak projek LPB bermula pada 2016, namun atas beberapa faktor yang telah melewatkan ataupun menjejaskan prestasi pelaksanaan projek tersebut.

“Kita berharap agar komitmen daripada kerajaan perpaduan sekarang, projek LPB Fasa 1 ini akan dapat dimulakan pelaksanaanya selewat-lewatnya sebelum penghujung tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Shahelmey berkata, program kembara itu akan dilaksanakan bermula 3 hingga 13 September ini melibatkan Sabah dan Sarawak melalui Lebuhraya Pan Borneo.

“Bagi Negeri Sabah, program akan bermula di Tawau pada 3 September ini. Dari Tawau, rombongan akan singgah di Lahad Datu dan bermalam di Sandakan. Rombongan bergerak ke Daerah Telupid dan Ranau sebelum bermalam di Ranau dan seterusnya menyambung perjalanan ke Bandaraya Kota Kinabalu dan bermalam di Kota Kinabalu.  

“Pada 7 September,  rombongan Yang di-Pertuan Agong akan berangkat ke Penampang dan Sipitang sebelum menyeberangi sempadan untuk memasuki Sarawak dan Negara Brunei Darussalam,” katanya. – JAPEN SABAH

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular