HomeEkonomiMembasmi Kemiskinan Di Sabah

Membasmi Kemiskinan Di Sabah

Read Time:5 Minute, 47 Second

Oleh:

Wan Azrain Adnan

1.        Pada awal Ogos 2023, Ketua Menteri Sabah menyatakan bahawa sejumlah RM 696.3 juta telah di peruntukkan oleh Kerajaan Malaysia untuk di berikan kepada 799,782 orang di Sabah di bawah inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

2.        Secara keseluruhan, Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sejumlah RM 8 billion di bawah inisiatif STR, melibatkan 8.7 juta penerima STR di seluruh negara. Ini bermakna penerima STR di Sabah merangkumi 9% dari jumlah keseluruhan penerima STR di Malaysia.

3.        Tambahan lagi, Ketua Menteri Sabah menyatakan bahawa seramai 35,461 golongan miskin tegar di Sabah juga menerima bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (SARa) berjumlah RM 21.27 juta.

4.        Menurut laman sesawang Kementerian Kewangan Malaysia:

  • Sumbangan Tunai Rahmah (STR) adalah salah satu inisiatif di bawah konsep Payung Rahmah bertujuan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.
  • Sumbangan Asas Rahmah (SARa) adalah sebuah program lanjutan kepada inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bertujuan meringankan beban sara hidup golongan miskin tegar, dalam bentuk barang keperluan asas tanpa tunai, berjumlah RM 600, dengan kadar RM 100 setiap bulan untuk tempoh 6 bulan.

5.        Angka-angka tersebut mempamerkan ramai rakyat Sabah yang berpendapatan rendah dan miskin, selari dengan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Pada tahun 2020, peratusan kemiskinan mutlak/ hardcore poverty di Sabah adalah 25.3%, tertinggi di Malaysia dan jauh lebih tinggi berbanding dengan peratusan negara (8.4%).

6.        Manakala, pada tahun 2019, data DOSM menunjukkan bahawa 8 daripada 26 daerah pentadbiran di Sabah telah merekodkan peratusan kemiskinan mutlak melebihi 30%. Daerah Tongod dan Pitas pula telah merekodkan peratusan kemiskinan mutlak melebihi 50%.

7.        Kemiskinan Mutlak adalah keadaan di mana pendapatan isi rumah tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup asas iaitu – makanan, tempat perlindungan dan pakaian. 

8.        Di samping peratusan kemiskinan yang tinggi, Sabah juga menghadapi isu keseimbangan pendapatan dengan kadar Pekali Gini yang tertinggi di Malaysia, iaitu 0.397. Pekali Gini yang tinggi menggambarkan pendapatan rakyat Sabah yang tidak seimbang atau sama-rata.

9.        Inisiatif kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARa) hanyalah berbentuk bantuan sementara. Ianya dapat membantu meringankan kesusahan rakyat dengan segera untuk jangka masa pendek sahaja. Tetapi ianya tidak menyelesaikan punca kemiskinan seperti – tiada pekerjaan, tiada atau memiliki kelulusan dan kemahiran rendah, tiada sumber kewangan untuk belajar.

10.      Justeru itu, untuk jangka masa panjang, agenda membasmi kemiskinan mestilah berlandaskan kepada usaha memperkasa rakyat dengan pendidikan dan kemahiran yang relevan. Inilah yang akan dapat memecahkan kitaran kemiskinan/ poverty-cycle yang selalunya turun-temurun, dari generasi ke generasi.

Give a man a fish, and you feed him for a day; teach a man to fish and you feed him for a lifetime.

11.      Bersandarkan peribahasa: melentur buluh biarlah dari rebungnya, kepentingan pendidikan mestilah di tekankan dari usia muda. Namun begitu, pencapaian akademik pelajar Sabah masih tidak begitu memuaskan, dan lebih rendah berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, Sabah telah mencatatkan nilai Gred Purata Negeri (GPN) 5.22, iaitu paling rendah di Malaysia. Sebagai perbandingan, negeri dengan GPN terbaik ialah Negeri Sembilan (4.50). Manakala Gred Purata Nasional adalah 4.74.

12.      Tambahan lagi, ramai calon SPM Sabah telah tidak menduduki peperiksaan SPM. Data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan seramai 5,686 (14%) calon SPM 2022 di Sabah tidak hadir dan menduduki peperiksaan SPM tersebut. Peratusan ini adalah dua kali ganda dari peratusan nasional (7%).

13.      Maka, tanpa kelulusan SPM ataupun dengan pencapaian SPM yang rendah, apakah nasib serta masa depan pelajar-pelajar tersebut? Adakah mereka boleh melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi? Jika tidak boleh, apakah pekerjaan yang mereka mampu perolehi dengan kelulusan dan kemahiran yang di miliki? Seterusnya adakah mereka dapat membantu keluarga mereka?

14.      Namun begitu, adalah tidak memeranjatkan isu-isu calon SPM berkenaan berlaku memandangkan kualiti pendidikan di Sabah masih rendah. Mengikut rekod Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) 2022, daripada jumlah 1,071 buah sekolah rendah dan 221 buah sekolah menengah di Sabah, sebanyak 54.5% (704 sekolah) di kategorikan sebagai daif dan memerlukan pembaikan serta penyelenggaraan segera.

Bagaimana pula dengan fasiliti dan peralatan sekolah seperti – makmal sains, makmal komputer, perpustakaan, kelengkapan sukan? Adakah lengkap dan berfungsi dengan baik untuk di gunakan oleh para pelajar dan guru?

15.      Kualiti perguruan di Sabah juga telah mendapat perhatian seluruh negara. Pada Julai 2023, tiga (3) orang bekas pelajar di Sabah telah memenangi kes saman terhadap seorang guru Bahasa Inggeris mereka, yang telah ponteng kelas selama 7 bulan. Oleh kerana itu, mereka telah gagal subjek tersebut di dalam peperiksaan SPM. Menurut laporan media, Kerajaan Malaysia telah tidak membuat rayuan kepada keputusan mahkamah tersebut.

Malah, perbicaraan satu lagi kes yang serupa sedang berlangsung di mahkamah Sabah.

16.      Dengan kualiti pendidikan yang rendah tersebut, sudah pasti para pelajar tidak dapat belajar dengan selesa dan mendapat pendidikan yang menyeluruh. Oleh yang demikian, kegagalan pelajar untuk mendapat pencapaian yang baik adalah kegagalan kerajaan. Ini amatlah tidak adil kepada para pelajar yang terpaksa menanggung kegagalan ini serta menghadapi masa depan yang malap, kemungkinan besar untuk sepanjang hidup mereka.

17.      Akhirnya, usaha pembasmian kemiskinan di Sabah hanya akan berjaya dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat. Pelaburan yang banyak akan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat Sabah. Untuk sekian lama, Sabah telah mengalami pertumbuhan ekonomi yang lembap: 2018 (1.5%), 2019 (0.7%), 2020 (-9.2%), 2021 (1.1%). Ini telah menyumbang kepada kadar kemiskinan dan pengganguran (2022: 7.7%) yang tinggi di Sabah.

18.      Namun begitu, sejak Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) di lancarkan pada awal 2021, ekonomi Sabah telah menunjukkan prestasi yang lebih memberangsangkan. Pada tahun 2022, Sabah telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi 3.7%. Malah, jumlah perdagangan Sabah 2022 juga telah meningkat sebanyak 35.4% berbanding tahun 2021.

Manakala, di bawah Belanjawan Sabah 2023, ekonomi Sabah di unjurkan meningkat sebanyak 5.0% untuk tahun 2023.

19.      Sudah pasti pertumbuhan ekonomi yang semakin pesat ini bakal memberi manfaat kepada rakyat Sabah. Justeru itu, usaha pemerkasaan rakyat Sabah dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran mesti di pertingkatkan agar semua dapat terlibat di dalam ekonomi Sabah. Ini termasuklah melahirkan lebih ramai tenaga kerja di dalam jurusan Science, Technology, Engineering, Mathematics (STEM).

20.      Rakyat Sabah mesti bersedia untuk meraih peluang yang di wujudkan dengan pertumbuhan ekonomi yang mendatang.

21.      Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera.

RELATED ARTICLES
Ekonomi

BOHEX 2024 bakal jadi platfrom utama industri halal, ASEAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular