HomeIsu tempatan41 hasil penyelidikan dibentang menerusi seminar saintifik Mamut dan Darvel Bay 2023

41 hasil penyelidikan dibentang menerusi seminar saintifik Mamut dan Darvel Bay 2023

Read Time:1 Minute, 55 Second

Kota Kinabalu : Sebanyak 41 hasil penyelidikan (terestrial dan marin) telah berjaya dibentangkan secara lisan dan poster menerusi pelaksanaan seminar saintifik Mamut dan Darvel Bay 2023 yang berakhir semalam.

Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS) Dr Maklarin Lakim berkata, hasil penyelidikan itu adalah merangkumi bidang flora, fauna, alam sekitar, pelancongan dan juga komuniti. 

Katanya, hasil dapatan penyelidikan itu akan didokumentasikan seterusnya menjadi rujukan dan sokongan kepada perancangan yang akan dilaksanakan di kawasan-kawasan terlibat.

Menurutnya, ia sejajar dengan Pelan Strategik TTS 2021-2025 yang menggariskan kepentingan data saintifik dalam pengurusan yang mampan untuk semua kawasan taman.

“Pelaksanaan Seminar Saintifik Mamut dan Teluk Darvel ini merupakan kesinambungan dari dua Ekspedisi Saintifik yang dijalankan pada tahun lalu dimana ia dijalankan pada 19 hingga 30 September 2022 yang merupakan langkah awal proses pewartaan kawasan lombong mamut yang akan diwartakan di bawah Enakmen Taman-Taman 1984 sebagai nature reserve atau kawasan perlindungan semula jadi dengan keluasan 2,112 hektar.

“Dalam usaha kerajaan Negeri Sabah untuk meningkatkan kawasan yang dilindungi sepenuhnya menjelang 2025, Kabinet Kerajaan Negeri Sabah telah bersetuju untuk mewartakan kawasan Teluk Darvel sebagai salah satu taman marin di bawah TTS. 

“Ekspedisi saintifik Teluk Darvel edisi kedua yang berlangsung pada 19 hingga 30 Oktober tahun lalu telah dijalankan dalam skala kawasan yang lebih luas untuk mengemaskini data sedia ada. Data-data ini diperlukan untuk menghasilkan satu pelan pengurusan bagi kawasan Taman Cadangan Teluk Darvel yang berkeluasan 117,000 hektar,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Seminar Saintifik Mamut dan Darvel Bay 2023 dan Pelancaran Ekspedisi Marai-Parai di sini semalam.

Dalam pada itu, Maklarin berkata, Marai-Parai merupakan satu kawasan dataran tinggi yang terletak di barat laut Gunung Kinabalu. 

Katanya, kawasan itu merupakan kawasan ultramafik dan menjadi habitat bagi beberapa spesies tumbuhan periuk kera antaranya seperti Nepenthes rajah, Nepenthes burbidgeae, Nepenthes lowii, Nepenthes edwardsiana, Nepenthes fusca, dan Nepenthes tentaculata.

Katanya, ekspedisi ke Marai-Parai yang pertama telah direkodkan oleh Anthea Phillips pada tahun 1983. 

“Ekspedisi saintifik Marai Parai kali ini bertujuan mengumpul data saintifik bagi tujuan pengurusan dan sekaligus menilai potensi laluan ini untuk dibangunkan sebagai laluan alternatif ke puncak Gunung Kinabalu. 

“Secara tuntas, penyelidikan berperanan penting dalam memajukan pemahaman kita, memacu inovasi dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat dengan menyediakan pemerhatian dan penyelesaian berasaskan bukti kepada pelbagai cabaran,” katanya. – SABAH MEDIA 

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Deklamasi puisi akan diadakan pada Majlis Makan Malam Hari Jadi Rasmi...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular