HomePendapatTindakan intervensi perlu dilaksana pastikan kemasukan pelajar ke universiti seimbang

Tindakan intervensi perlu dilaksana pastikan kemasukan pelajar ke universiti seimbang

Read Time:4 Minute, 10 Second

Oleh WAN AZRAIN ADNAN

1. Pada 7 September 2023, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengeluarkan kenyataan mengenai Keputusan Permohonan Kemasukan ke Universiti Awam (UA) peringkat Sarjana Muda untuk lepasan STPM/ Setaraf, untuk Sesi Akademik 2023/ 2024.

2. Menurut kenyataan tersebut, sejumlah 118,143 permohonan telah di terima melalui sistem UPUOnline, iaitu sistem permohonan Kementerian Pengajian Tinggi. Daripada jumlah permohonan tersebut, seramai 70,156 calon (59.4%) telah berjaya mendapat tawaran.

3. Seterusnya, daripada jumlah 70,156 calon yang berjaya tersebut, 24,846 (35.4%) adalah calon lelaki, manakala 45,310 (64.6%) adalah calon wanita. Kadar kejayaan mendapat tawaran adalah 73.94% untuk calon lelaki dan 73.49% untuk calon wanita.

4. Data tersebut menunjukkan jumlah calon wanita (45,310) adalah lebih 80% ataupun 20,484 orang dari jumlah calon lelaki (24,826). Ini adalah perbezaan jumlah yang sangat besar. Namun begitu, ianya tidaklah mengejutkan, malah menetapi trend sediada. Untuk sekian lama, jumlah pelajar wanita melebihi jumlah pelajar lelaki di universiti awam, dengan peratusan perbezaan yang ketara.

UMS

5. Sebagai contoh. Untuk kemasukan Sesi Akademik 2020/2021, seramai 18,109 (31%) calon lelaki dan 40,559 (69%) calon wanita telah di tawarkan tempat di universiti awam. Malah, tiga belas tahun dahulu, untuk kemasukan Sesi Akademik 2010/2011, seramai 26,229 (64.8%) calon wanita telah di berikan tawaran.

6. Tambahan lagi, dua tahun lepas, Menteri Pengajian Tinggi ada menyatakan bahawa pada tahun 2020, terdapat sejumlah 357,087 pelajar wanita di institusi pendidikan tinggi awam, merangkumi 61% daripada jumlah pelajar yang mendaftar. Manakala sejumlah 537,434 (53%) pelajar wanita mendaftar di institusi pendidikan tinggi swasta.

7. Maka, beberapa persoalan timbul. Apakah punca perbezaan jumlah pelajar lelaki dan wanita begitu besar? Jika majoriti pelajar di institusi pengajian tinggi adalah wanita, di manakah anak muda lelaki? 

Fenomena ini sudah berlaku sekian lama sehinggakan ada yang melawak: wanita masuk Universiti, lelaki masuk Pusat Serenti. 

8. Isu ketidakseimbangan ini boleh di teliti bersama dengan lain-lain data yang ada. Sebagai contoh. Data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan hampir 300,000 calon SPM 2020 dan 2021 telah tidak melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Data KPM juga menunjukkan bahawa seramai 29,663 (7%) calon telah tidak menduduki peperiksaan SPM 2022, daripada jumlah keseluruhan 407,637 calon berdaftar.

Mungkinkah majoriti daripada jumlah ini adalah anak muda lelaki? Tidak dapat di pastikan tanpa maklumat lanjut. Tetapi begitulah nampaknya.

9. Beberapa tahun lepas, ketika mengulas mengenai isu ketidakseimbangan tersebut, Profesor Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din, iaitu seorang Pakar Psikologi Kaunseling, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), menyatakan bahawa wanita lebih awal mencapai kematangan, dengan itu mempunyai keupayaan lebih tinggi dalam pembelajaran dari lelaki. Oleh itu, wanita lebih cepat menguasai dan mampu membuat pecutan dalam proses pembelajaran.

10. Beliau turut menyatakan bahawa jumlah pelajar wanita yang lebih ramai di peringkat menengah tinggi juga menyebabkan peratusan pelajar wanita lebih ramai di terima masuk ke institusi pendidikan tinggi (IPT). Ketika di sekolah rendah, jumlah pelajar lelaki dan wanita adalah seimbang. Tetapi selepas Tingkatan 3, jumlah tersebut mula berbeza apabila ramai pelajar lelaki tidak meneruskan persekolahan, dan bilangan pelajar lelaki terus berkurangan selepas Tingkatan 5 dan Tingkatan 6.

11. Di samping itu, faktor-faktor lain mungkin juga menyumbang kepada ketidakseimbangan tersebut, seperti – kemiskinan, masalah keluarga, masalah disiplin dan tiada minat untuk belajar. Walau apa pun punca ketidakseimbangan tersebut berlaku, yang jelas ialah ianya sudah berlanjutan untuk tempoh masa yang lama. Malah ianya akan berterusan sekiranya tiada tindakan intervensi di ambil untuk meneliti serta menangani fenomena tersebut.

12. Usaha untuk memperbetulkan ketidakseimbangan tersebut mestilah seiring dengan usaha untuk meningkatkan tahap pendidikan serta kemahiran rakyat Malaysia secara am-nya. Sudah pasti Malaysia tidak mampu melonjak ke negara maju berpendapatan tinggi sekiranya ramai rakyat tidak memiliki pendidikan serta kemahiran yang relevan dan selari dengan kehendak semasa.

13. Menurut Laporan Survei Tenaga Buruh Suku Tahun Pertama 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), majoriti (65.6%, 10.52 juta orang) penduduk Malaysia yang bekerja hanyalah memiliki pendidikan rendah dan menengah, manakala pendidikan tertiari (31.7%, 5.09 juta orang). 

14. Tambahan lagi, majoriti (72.1%, 11.58 juta orang) penduduk Malaysia yang bekerja adalah pekerja separuh mahir dan berkemahiran rendah. Hanya 27.9% (4.49 juta orang) adalah pekerja mahir.

15. Usaha untuk memperbetulkan ketidakseimbangan tersebut bukanlah bermakna akan menidakkan peluang wanita untuk melanjutkan pengajian tinggi. Tidak sama sekali. Malah, kemasukan ramai wanita ke institusi pendidikan tinggi akan dapat memperkukuhkan agenda pemerkasaan wanita, serta meningkatkan tenaga kerja wanita di dalam pekerjaan.

16. Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia ada menyatakan bahawa jumlah tenaga kerja wanita di Malaysia berada pada kadar 55.6%, iaitu antara yang terendah di ASEAN. Sasaran Kerajaan Malaysia ialah untuk meningkatkan kadar berkenaan kepada 59% menjelang 2025. Walaupun jumlah wanita begitu besar di institusi pendidikan tinggi, namun jumlah tenaga kerja wanita masih tidak mencapai kadar yang di sasarkan.

17. Tahniah kepada semua calon yang telah menerima tawaran. Gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran yang relevan agar dapat berbakti kepada negara.

18. Pendidikan kunci kejayaan.

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular