Papar : Penganjuran Majlis Ihtifal Ilmi San (MIISAN) dalam kalangan murid-murid sekolah agama di negeri ini dilihat mampu melahirkan masyarakat Islam yang berpengetahuan seterusnya melahirkan cendekiawan Islam terbilang di dunia.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, Kerajaan negeri juga sentiasa meletakkan pembangunan pendidikan sebagai keutamaan kepada masyarakat khususnya para pelajar.
“Lantaran itu, kepimpinan sekolah merupakan saluran utama agenda ini dapat disebar luaskan kepada semua masyarakat.
“Untuk memastikan usaha ini dapat diteruskan dengan berkesan, keberkesanan sekolah sebagai sebuah organisasi perlu diberi perhatian dan sentiasa berfungsi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan MIISAN di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Islamiah Papar di sini semalam.
Ruslan berkata, sebuah organisasi hanya akan berkesan jika pemimpin mampu mempengaruhi anggotanya ke arah mencapai tujuan dan matlamat yang dirangka.
Katanya, perubahan ini dapat dilakukan melalui amalan kepimpinan yang berwawasan, ada hala tuju yang jelas dan dikongsi bersama-sama.
“Justeru, pemimpin hendaklah menghayati visi dan misi, mempamerkan rasa yakin dan optimis bahawa visi dan misi akan dapat dicapai serta menonjolkan bakat dan kebolehan mereka yang dipimpin.
“Membina keyakinan merupakan kunci kepada kejayaan dan keyakinan ini akan dikukuhkan lagi dengan amalan kepimpinan melalui teladan,” katanya.
Sementara itu, Ruslan berkata, semangat untuk suatu perubahan yang cuba dihidupkan melalui pelaksanaan Majlis Ihtifal seperti ini bukan sekadar pertandingan,sebaliknya menjadi peringatan yang berterusan untuk masyarakat meneruskan usaha memberikan yang terbaik dalam setiap amalan yang dilakukan.
“Saya juga ingin mengingatkan bahawa majlis ini adalah satu usaha kita bersama untuk mendapatkan keredhaan Allah di samping mengeratkan ukhuwwah sesama kita dalam menjayakan misi dan agenda pendidikan di negeri ini,” katanya. – SABAH MEDIA.