CHINA akan memberi sokongan kepada kerajaan Malaysia dalam menjayakan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata China turut menyambut baik dengan cadangan Asian Monetary Fund (AMF) sebagai pemberi pinjaman pilihan terakhir kepada rantau ini semasa krisis kewangan berlaku.
“Pemimpin China memandang tinggi dan menyokong Malaysia MADANI dan konsep AMF,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat Li Qiang hari ini.
Anwar berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini sempena lawatan kerja beliau ke bandar raya ini bagi menghadiri Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-20.
Menurut Anwar, terdapat potensi besar bagi ASEAN dan negara-negara Campur Tiga termasuk China untuk berusaha ke arah cita-cita ideal dibayangkan di bawah AMF yang pernah dicadangkan selepas Krisis Kewangan Asia.
“Mewujudkan AMF, walaupun bercita-cita tinggi, adalah usaha yang patut diteruskan untuk memastikan kestabilan ekonomi dan kewangan di rantau ini,” katanya.
Sementara itu, dalam persidangan media hari ini, Anwar berkata dengan sokongan Li, syarikat- syarikat China kini lebih aktif melabur di Malaysia dengan penekanan diberikan kepada soal latihan, terutama latihan peringkat tertinggi.
Menurut Perdana Menteri, syarikat China mempunyai pandangan yang sangat baik terhadap golongan profesional, jurutera, juruteknik dan pakar teknologi maklumat (IT) Malaysia terutamanya dari segi prestasi, dedikasi dan disiplin mereka.
Namun begitu, wujudnya kekurangan yang ketara dari segi upskilling di peringkat tertinggi, tambah beliau.
“Jadi, dalam semua perbincangan dengan syarikat China seperti China Communications Construction Company (CCCC) (yang bangunkan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Geely dan Huawei, saya tekankan syarat supaya menambahkan usaha penyelidikan di Malaysia dan latihan khas yang harus diselenggarakan untuk anak-anak Malaysia,” katanya.
–BERNAMA