HomeEkonomiChina kekal sebagai rakan perdagangan penting bagi Sabah

China kekal sebagai rakan perdagangan penting bagi Sabah

Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: China kekal sebagai rakan perdagangan penting Sabah apabila jumlah dagangannya mencatatkan peningkatan 1.2 peratus kepada RM6.56 bilion untuk enam bulan pertama tahun ini.

“Memandangkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dan China terus berkembang, saya mengharapkan lebih banyak perdagangan dan pelaburan China ke Sabah,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada majlis sambutan Hari Kebangsaan ke-74 Republik Rakyat China yang diadakan di Shangri-La’s Tanjung Aru Resort and Spa, di sini, hari ini.

“China kini merupakan rakan dagang terbesar Malaysia, dan Malaysia berada di kedudukan teratas rakan dagangan China di Asia Tenggara.

Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan Timbalan Ketua Menteri II dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata, banyak yang perlu dilakukan untuk mengukuhkan dan menyelaraskan strategi pembangunan Sabah dengan China, menggabungkan realisasi pemodenan Cina dengan aspirasi Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Mengenai pelancongan, Hajiji berkata ketibaan dari China juga semakin meningkat sejak pembukaan semula sepenuhnya sempadan China pada Mac tahun ini.

“Bagi enam bulan pertama tahun ini, pengunjung China dicatatkan 17,040 (peningkatan 680.6 peratus) berbanding hanya 2,188 pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Sabah dihubungkan dengan tujuh bandar utama di China dengan 54 penerbangan mingguan dan kapasiti tempat duduk sebanyak 9,861. Kami berharap dapat melihat lebih banyak sambungan udara untuk meningkatkan ketibaan pelawat dari China ke Sabah.

“Kami berbesar hati kerana Sabah kekal sebagai destinasi yang dicari oleh pengunjung China, sama ada untuk beriadah atau berniaga. Trend peningkatan dalam keseluruhan ketibaan pelawat ke Sabah, berjumlah 1,198,536 ketibaan dari Januari hingga Jun tahun ini, adalah petanda yang baik kerana ini telah menjana resit pelancongan RM2.45 bilion untuk Sabah. Ini menunjukkan peningkatan 69.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Hajiji berkata pada masa hadapan, Sabah mengharapkan lebih banyak kerjasama dengan China dalam bidang seperti tenaga hijau, pembuatan, pertanian teknologi tinggi, dan pembinaan bandar pintar, antara lain, untuk menggalakkan faedah bersama dan perkongsian menang-menang swasta-awam.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular