Sandakan : Sebuah premis peruncit di Telupid dikenakan kompaun selepas didapati menggunakan alat timbang tamat tempoh dan gagal menentusahkan alat timbang berkenaan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan Azdy Zukkry John berkata, tindakan kompaun ke atas premis tersebut diambil mengikut Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972.
“Pada Selasa lalu, kita telah mengadakan satu operasi bersepadu KPDN bersama Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Sandakan sekitar Pekan Telupid dan Tongod.
“Hasil pemeriksaan ke premis-premis yang dijalankan, kita mendapati sebuah premis telah melakukan kesalahan berkaitan alat timbang dan kita telah pun keluarkan kompaun ‘on the spot’ kepada pemilik pemis,” katanya ketika dihubungi Sabah Media di sini hari ini.
Turut hadir sama pada operasi itu Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Telupid, Mohd Nasrul Omar.
Azdy berkata, bermula 1 September hingga Selasa lalu, pihaknya telah berjaya memeriksa sebanyak 35 premis sekitar Sandakan.
Katanya, hasil pemeriksaan menerusi pelaksanaan Ops Jamin, pihaknya mendapati keberadaan barang perlu seperti gula, tepung gandum, minyak masak paket dan beras di kawasan Pekan Telupid dan Tongod adalah stabil dan mudah diperolehi.
“Kebanyakan peruncit di sekitar Pekan Telupid dan Tongod menerima bekalan gula, tepung gandum dan minyak masak daripada pemborong dilantik dibawah Program Prihatin Keluarga Sandakan (PPKS) yang telah diinisiatifkan oleh KPDN Cawangan Sandakan sejak April 2022 dan telah berjaya menstabilkan bekalan.
“Kita juga mendapati tiada sebarang pembelian panik ataupun berebut-rebut di kalangan pengguna untuk mendapatkan bekalan barang perlu,” katanya.
Sementara itu, Azdy berkata, pemantauan dan pemeriksaan akan diteruskan dari masa ke semasa ke seluruh kawasan Sandakan termasuklah kawasan luar bandar.
Katanya, pihaknya turut menasihatkan pengguna agar menyalurkan sebarang aduan lengkap kepada KPDN dan KPB melalui saluran yang betul agar penguatkuasaan lebih berkesan.
“Peniaga juga diingatkan agar sentiasa mematuhi segala undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan tidak menaikkan harga barang sewenang-wenangnya untuk mengaut keuntungan yang berlebihan ketika rakyat menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya. – SABAH MEDIA