TELUPID: Terdapat kepentingan drastik untuk mengubal akta baharu lebih tegas melibatkan haiwan ternakan berkeliaran di jalan raya yang telah banyak menyumbang kemalangan maut di negeri ini.
Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, sejak sekian lama ribuan nyawa telah menjadi korban di atas jalan raya akibat kes terlanggar kerbau dan lembu tanpa sebarang tindakan diambil kepada pemiliknya.
“Sudah sampai masanya kementerian berkaitan mengubal undang-undang lebih tegas kepada pengusaha haiwan ternakan supaya isu itu dapat ditangani,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu Masiung menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi daerah Telupid dan Tongod, semalam.
Menurut Masiung, tanpa disedari pemilik haiwan ternakan yang sengaja membiarkan ternakan mereka berkeliaran di jalan raya adalah pembunuh senyap yang terkecuali dari tindakan undang-undang.
“Penguatkuasaan sedia ada ternyata amat lemah kerana lebih menguntungkan pemilik ternakan terbabit berbanding nyawa manusia dan kepentingan awam,” tegasnya.
Beliau berkata, notis yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan kepada pemilik agar ternakan dijaga dan tidak berkeliaran ternyata tidak diendahkan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, di zaman moden ini sudah tidak relevan lagi pengusaha menternak haiwan di jalan raya atau kawasan awam, sebaliknya mereka perlu lebih efisien menempatkan haiwan ternakan di satu kawasan berkurung.
Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) menegaskan jika pengusaha diberi galakan mengurung dan menjaga haiwan ternakan mereka dengan baik, sudah tentu hasil ternakan mereka dapat ditingkatkan.
Menurut Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu, isu haiwan ternakan tanpa pengawasan bukanlah perkara baharu, malah ia sering dibincangkan dalam pihak berkuasa tempatan.
“Haiwan ternakan ini bukan sahaja membahayakan pengguna jalan raya, lebih dari itu ia turut merosakkan kebun dan harta awam selain najisnya mengotorkan jalan dan kawasan rekreasi.
“Oleh kerana tiada penguatkuasaan undang-undang pemilik ternakan hanya mau meraih keuntungan tanpa menghiraukan kemalangan jiwa dan kepentingan awam, ” katanya.
Menurut Masiung, jika kementerian berkaitan tidak memperuntukkan sebarang akta, Jabatan Veterinar atau polis perlu memberi kebenaran kepada orang awam menangkap atau merampas ternakan terbabit jika menceroboh kebun, kawasan awam atau berkeliaran di jalan raya.
“Harus diingat nyawa manusia lebih penting berbanding haiwan ternakan yang dibiarkan tanpa sebarang kawalan,” tambah beliau.