HomeUtamaLebih RM33 bilion nilai pelaburan berjaya dibawa masuk ke Sabah

Lebih RM33 bilion nilai pelaburan berjaya dibawa masuk ke Sabah

Read Time:1 Minute, 38 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan Sabah berjaya membawa masuk lebih daripada RM33 bilion nilai pelaburan ke negeri ini dalam tempoh tiga tahun mengambil alih tampuk pemerintahan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia sekaligus berjaya merekodkan kutipan hasil yang tertinggi iaitu mencecah sehingga RM7 bilion.

“Dengan prestasi ekonomi yang baik, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) juga kini berada di landasan yang betul dan mula menampakkan hasil positif.

“Kejayaan turut dicapai dalam pelbagai sektor yang diberi keutamaan menerusi SMJ seperti perindustrian, pertanian dan pelancongan termasuk pembangunan modal insan bagi memastikan anak-anak tidak tercicir dalam urusan pendidikan mereka seterusnya peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kinabalu Press Awards (KPA) 2023 di sini semalam.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yang juga Pemegang Amanah Persatuan Wartawan Sabah (SJA) dan Mantan Presiden SJA, Datuk Joniston Bangkuai serta Presiden Sabah Journalists Association (SJA), Datuk Muguntan Vanar.

Hajiji berkata, Kerajaan negeri juga akan terus bertekad untuk memperhebatkan lagi pembangunan dan kemajuan di samping menambah baik kualiti hidup rakyat melalui pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif yang meliputi pelbagai sektor pembangunan.

Melihat kepada kejayaan dan usaha kerajaan negeri, beliau mahu pengamal media terus membantu kerajaan dalam menyebarkan maklumat mengenai kejayaan-kejayaan yang telah dicapai hingga ke peringkat akar umbi agar dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

“Ini seiring dengan acara malam ini yang bertemakan ‘Progress Through Smart Partnership’, sebagai simbolik kepada kerjasama pintar antara pengamal media dan Kerajaan Negeri Sabah, khususnya dalam melaporkan berkaitan dasar dan pembangunan yang dibawa oleh kerajaan.

“Kerjasama pintar antara pengamal media dan Kerajaan Negeri amat penting dan perlu terus diperkukuhkan untuk memastikan kejayaan yang dicapai menerusi Hala Tuju SMJ dapat disampaikan secara terus kepada rakyat,” katanya.

Beliau juga berharap Pejabat baharu SJA akan memudahkan persatuan mengadakan pelbagai aktiviti dan program bersama ahli-ahlinya.

“Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan usaha bagi membantu persatuan ini untuk membina bangunan SJA pada masa akan datang,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH

RELATED ARTICLES
Utama

Hentikan fitnah, Musa Aman pilihan tepat sebagai TYT Sabah – Yahya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular