HomeUtamaMOTAC pandang serius insiden kemalangan membabitkan pelancong di Sabah

MOTAC pandang serius insiden kemalangan membabitkan pelancong di Sabah

Read Time:3 Minute, 14 Second

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memandang serius dalam insiden kemalangan membabitkan pelancong di Sabah kerana ia boleh menjejaskan imej pelancongan negara khususnya industri pelancongan di negeri itu sendiri.

Sehubungan dengan itu, pihak MOTAC bersama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah; Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sabah; Jabatan Laut Sabah dan Labuan; Pejabat Daerah Semporna; Lembaga Pelancongan Sabah; dan lain-lain, telah mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai kemalangan membabitkan pelancong di Sabah pada Rabu.

Menterinya Dato Sri Tiong King Sing berkata, matlamat mengadakan mesyuarat tersebut adalah untuk mencari kata sepakat di kalangan semua pihak yang terlibat untuk meningkatkan aspek keselamatan pelancongan tempatan secara kolektif dan mengurangkan risiko kemalangan serupa pada masa hadapan.

“Justeru, semua jabatan serta pihak berkepentingan yang terlibat, khususnya industri pelancongan di Sabah digesa untuk menunjukkan komitmen dan menangani isu-isu berkaitan aspek keselamatan dengan segera bagi memulihkan keyakinan pelancong untuk berkunjung ke negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, setakat ini, lebih 13 kes kemalangan membabitkan pelancong dilaporkan berlaku di Sabah, termasuk kejadian bot terbalik di Pulau Timba-Timba dan insiden lemas membabitkan pelancong asing di Kudat pada bulan Julai baru-baru ini.

“Sebagai Menteri MOTAC, saya menegaskan bahawa ini adalah isu mendesak yang perlu ditangani dalam memulihkan industri pelancongan negara.

“Amat malang sekali Sabah sebagai destinasi pelancongan popular di Malaysia di peringkat global, kini mula tercalar imejnya disebabkan insiden-insiden yang berlaku sepanjang tahun ini, malah ia turut menjejaskan industri pelancongan negara khususnya di Sabah.

“Adalah penting bagi semua jabatan serta pihak berkepentingan yang terlibat, termasuk industri pelancongan itu sendiri, untuk menunjukkan komitmen dan menangani isu-isu ini dengan segera bagi memulihkan keyakinan pelancong,” katanya.

Tiong berkata, antara perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah memperkukuh garis panduan keselamatan: Kajian semula secara holistik dan naik taraf garis panduan keselamatan sedia ada untuk memastikan pelancong mempunyai langkah pencegahan serta keselamatan yang mencukupi apabila menyertai pelbagai aktiviti pelancongan termasuk sukan air.

“Selain itu, memastikan pengendali bot memiliki lesen sah untuk menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan sukan air: Memastikan semua bot penumpang yang hendak beroperasi berdaftar dan disahkan oleh pihak berkuasa bertujuan memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan yang diperlukan, termasuk memantau pematuhan peraturan mengenai kapasiti penumpang, pemakaian jaket keselamatan berkualiti tinggi, peralatan keselamatan maritim, dan langkah-langkah kecemasan yang diperlukan.

“Semua pengendali atau pengusaha bot diwajibkan mendaftar dan mematuhi piawaian yang ditetapkan, manakala pemandu bot pula mestilah memiliki lesen dan perlindungan insurans yang sah.

“Manakala dari segi penguatkuasaan yang ketat dan pemeriksaan mengejut, memastikan pemantauan keselamatan dilaksanakan dengan baik, agensi penguatkuasaan undang-undang harus mengambil langkah yang lebih ketat, termasuk menjalankan pemeriksaan secara mengejut yang berterusan, untuk memastikan bahawa garis panduan keselamatan yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya, serta bertindak dengan tegas terhadap sebarang pelanggaran, seterusnya memaksimumkan keselamatan pelancong.

“Perkara lain yang dibincangkan dalam mesyuarat termasuk keperluan untuk tenaga pengajar selam skuba memiliki lesen yang diiktiraf dan dikemas kini secara berkala, memastikan kualiti tenaga pengajar, kelayakan pengajar selam skuba mestilah dipamer dan diteliti sepenuhnya sebelum membenarkan mereka menjalankan sebarang aktiviti sebagai saringan tambahan, menjamin kualiti pengalaman menyelam untuk pelancong, dan menangani isu kebersihan di persekitaran penginapan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa isu ini memerlukan kerjasama penuh daripada semua pihak berkepentingan, termasuk pemain industri, untuk memastikan pertumbuhan mampan sektor pelancongan dan keselamatan pengunjung.

“Operator atau pengusaha pula mestilah mengutamakan keselamatan dengan menyediakan latihan kepada para kakitangan masing-masing, perlindungan insurans dan pelan kecemasan. Ini demi memastikan standard kebersihan dan kualiti dipenuhi, dan kecemasan dapat diuruskan dengan lebih berkesan.

“Selain itu, kerajaan negeri perlu memantau dan meningkatkan kualiti pelancongan tempatan. Pengalaman yang lebih baik akan meningkatkan keyakinan pelancong, sekaligus berpotensi menarik minat pelancong untuk kembali mengunjungi destinasi sama, merangsang pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan.

“Adalah penting bagi semua pihak untuk menunaikan tanggungjawab secara bersama dan mencegah kejadian atau insiden yang tidak diingini berlaku di masa depan, meningkatkan keyakinan terhadap industri pelancongan Malaysia dan memulihkan reputasi industri,” tegas Tiong.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Memahami Bidang Kuasa TYT Sabah & Mengapa Tun Musa Aman Dilantik?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular