HomeUtamaESSCOM terus pergiat koordinasi operasi bersepadu di ESSZone

ESSCOM terus pergiat koordinasi operasi bersepadu di ESSZone

Read Time:2 Minute, 0 Second

Semporna : Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) terus mempergiat koordinasi operasi bersepadu (OB) di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) dengan menguatkuasakan undang-undang sedia ada selaras dengan hasrat ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’.

Komander Eastern Command Datuk Victor Sanjos berkata, operasi yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Khas dan Teknikal (SKT) ESSCOM itu melibatkan kawasan laut dan daratan sekitar daerah ini di sini semalam.

Katanya, dalam operasi yang dilaksanakan itu menyaksikan seramai 352 orang dan 16 buah rumah telah diperiksa.

“Daripada jumlah itu, seramai 29 individu ditahan bagi tujuan pendokumentasian dan dibebaskan dengan jaminan pihak berkuasa kecuali tiga orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina telah ditangkap kerana didapati menetap di negara ini tanpa dokumen yang sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Daerah Semporna untuk tindakan lanjut.

“Selain itu, dua individu telah ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna di  bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana didapati positif dadah jenis Amphetamines dan Methamphetamine serta dibawa ke BSJND, IPD Semporna untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Victor berkata, tindakan penguatkuasaan turut dilaksanakan bagi membanteras elemen jenayah rentas sempadan melibatkan penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai serta aktiviti pengeboman ikan dan penyalahgunaan dadah.

“ESSCOM turut menzahirkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi terlibat khususnya para pegawai dan anggota yang menjayakan operasi ini selain komitmen padu yang diberikan sepanjang pelaksanaan operasi tersebut.

“Kejayaan operasi ini juga merupakan hasil perancangan inklusif dan usaha murni Kerajaan melalui Operasi Sanggah ESSCOM untuk memperkasa operasi-operasi sedia ada di bawah jabatan dan agensi berkenaan dalam mengekang ancaman pencerobohan anasir asing dan memastikan pemeliharaan keselamatan awam di pantai Timur Sabah diperkukuh dari semasa ke semasa.

“Melalui tindakan penguatkuasaan yang bersepadu dan teratur ini juga akan memastikan aspek pemerkasaan Ekonomi Madani dalam sektor perniagaan, pelaburan, pelancongan dan pengembangan syarikat tempatan di wilayah ini dapat dilonjakkan serta memberi manfaat dari segi penggajian yang bermakna dan kesaksamaan peluang kepada masyarakat ESS Zone,” katanya.

Justeru Victor berkata, ESSCOM akan terus melipatgandakan operasi seumpama ini bagi mengekang mana-mana elemen atau ancaman keselamatan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam khususnya di pantai Timur Sabah.

“Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO ESSCOM

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular