Pitas: Sebanyak 8,481 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir disediakan bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut yang bermula semalam hingga Mac tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata PPS terbabit terdiri daripada sekolah, balai raya, dewan masyarakat dan premis awam lain.
Beliau berkata, penyediaan fasiliti simpanan barang keperluan yang diurus Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah dilaksanakan sebagai sebahagian persiapan pengurusan bencana.
“Bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 yang diramalkan bermula pada November ini hingga Mac tahun hadapan, sebanyak 8,481 PPS telah dikenal pasti di seluruh negara termasuk 332 di Sabah.
“Pada masa yang sama, selain PPS, persiapan pengurusan bencana juga membabitkan aspek penyediaan fasiliti penyimpanan barang keperluan yang diuruskan oleh JKM.
“Bagi negeri Sabah, terdapat sebuah Depoh Simpinan Keperluan Bencana (DSKB), satu stor negeri, 21 stor daerah, lima mini depoh atau kontena dan lima pangkalan hadapan,” katanya dalam kenyataan sempena lawatan persiapan banjir di daerah ini, hari ini.
Sempena lawatan itu, Armizan turut meninjau tapak cadangan pembinaan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) yang pertama bagi negeri Sabah untuk menambah baik pengurusan bencana di negeri ini.
Katanya, projek di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu ditumpukan di kawasan ‘hotspot’ bencana banjir sebagai antara inisiatif baharu dalam menambah baik prasarana pusat penempatan mangsa bencana.
“Inisiatif ini diumumkan secara rasmi pelaksanaannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu.
“Dalam fasa pertama pelaksanaan, sembilan PPKB dirancang untuk dibina sebagai projek rintis di sembilan negeri yang kemudiannya akan diperluasakan ke semua negeri.
“Objektif pembinaan PPKB adalah untuk menyediakan prasarana penempatan bencana khusus yang bertaraf kekal untuk tempat perlindungan sementara mangsa ketika sesuatu kejadian bencana,” katanya.
Beliau berkata, bagi negeri Sabah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memutuskan projek rintis pertama dilaksanakan di daerah Pitas dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM6.9 juta dan dapat menempatkan kira-kira 500 mangsa.
Katanya, PPKB mempunyai persekitaran dan kemudahan yang lebih baik berbanding PPS kerana akan dilengkapi kemudahan yang bersesuaian seperti dewan penginapan, tandas, bilik mandi, ruang membasuh pakaian, dapur dan sudut makan, ruang khas wanita, bilik pentadbiran dan petugas, stor makanan dan keperluan asas, bilik rawatan serta surau.