Kota Kinabalu : Video dimuat naik Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid George Odol yang memaparkan pengalaman terpaksa tinggal dalam stor prasekolah adalah situasi dilaluinya sebelum rumah guru di sekolah itu siap dinaik taraf.
Perkara itu dijelaskan dalam video terbarunya yang dikongsikan semalam bagi mengulas perkembangan masalah rumah guru di sekolahnya.
Video itu turut menunjukkan sederet rumah guru yang sudah siap dinaik taraf dan mula digunakan warga pendidik sekolah berkenaan.
“Saya ingin mengulas mengenai video yang saya ‘upload’ minggu lalu mengenai isu rumah guru di sekolah ini terutama Guru Besar yang tinggal di stor prasekolah.
“Untuk makluman, kenyataan saya itu tidak melibatkan dua bulan terakhir perkhidmatan saya di sekolah ini. Saya mula datang melapor diri untuk bertugas sebagai pentadbir di sekolah ini pada bulan Jun 2020 dan akan menamatkan perkhidmatan saya di sekolah ini pada 27 November 2023, lagi beberapa hari.
“Jadi, dalam menangani isu rumah guru di SK Ulu Ansuan, Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah drastik iaitu rancangan jangka pendek dan rancangan jangka panjang.
“Dalam rancangan jangka pendek, Kementerian Pendidikan telah memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk menyelenggarakan rumah guru yang sedia ada di sekolah ini sebanyak tujuh unit dan siap sepenuhnya pada hari ini (semalam) dan sudah mula dihuni oleh guru-guru di sekolah ini,” katanya.
Beliau merujuk kepada peruntukan penyelenggaraan sebanyak RM200,000 yang disalurkan Kementerian Pendidikan bagi menyelenggara dan menaik taraf rumah guru sedia ada itu yang bermula pada Jun lalu dan siap bulan ini.
George turut mengulas pengumuman yang dibuat Kementerian Pendidikan beberapa hari lalu mengenai rancangan jangka panjang untuk menaik taraf sekolah luar bandar berkenaan, termasuk membina empat lagi kuarters guru.
“Rancangan jangka panjang pula, Kementerian Pendidikan memperuntukkan RM12.5 juta untuk membina empat lagi rumah guru di sekolah ini.
“Jadi, dengan dua tindakan drastik yang diambil Kementerian Pendidikan melalui rancangan jangka pendek dan panjang, ini bererti isu rumah guru di SK Ulu Ansuan ini akan berakhir dalam masa yang terdekat ini,” katanya.
Selain untuk membina rumah guru, peruntukan bagi projek jangka panjang yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 itu turut merangkumi pembinaan blok akademik dan pentadbiran sekolah.
Video dikongsi George sebelum ini yang menunjukkan suasana stor dijadikan tempat tinggalnya mendapat perhatian ramai netizen sebelum Kementerian Pendidikan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tindakan yang sudah diambil bagi menangani masalah rumah guru di sekolah itu.