HomeUtamaMUIS rancang bangunkan tanah di Kampung Gersik Saguking Labuan

MUIS rancang bangunkan tanah di Kampung Gersik Saguking Labuan

Read Time:2 Minute, 9 Second

Labuan : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) merancang untuk membangunkan sebidang tanah miliknya di Kampung Gersik Saguking di sini untuk pembangunan berkonsepkan ‘Mix Development’.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIS Ramlan Awang Ali berkata, ia termasuklah pembangunan untuk aktiviti komersial berkaitan minyak dan gas serta logistik perkapalan.

Justeru itu katanya, agensi berkenaan mula melaksanakan perobohan kediaman yang dibina secara haram di kawasan seluas 34 ekar sebagai persiapan awal untuk pembangunan tapak berkenaan.

Menurutnya lagi, dianggarkan sebanyak 500 buah rumah terbabit dalam operasi berkenaan yang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi di pulau berkenaan termasuklah Perbadanan Labuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, SESB, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Bekalan Air. 

Ketua Pegawai Eksekutif MUIS Ramlan Awang Ali

“MUIS sebelum ini telah memberi notis awal kepada penduduk setinggan dikawasan berkenaan pada 22 Mei lalu hingga 22 November iaitu selama enam bulan untuk mengosongkan penempatan di tanah milik MUIS iaitu di Kampung Gersik Saguking yang terletak berhampiran pusat bandar Labuan.

“Antara langkah yang kita ambil adalah dengan membuat operasi banci penduduk dan edaran notis pada 22 Mei hingga 26 Mei lalu iaitu selama lima hari.  Antara agensi yang terlibat dalam membantu melaksanakan operasi ini adalah Perbadanan Labuan, PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia, SESB, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Bekalan Air,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bicara Eksklusif di stesen radio Labuan FM di sini semalam.

Ramlan yang juga Setiausaha MUIS berkata, sepanjang operasi dijalankan penduduk setinggan di kawasan berkenaan telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak MUIS.

Katanya, pihaknya juga sebelum ini telah memasang empat papan tanda cadangan pembangunan di lokasi keluar masuk penduduk setinggan berkenaan bagi memberi maklumat awal kepada penduduk terlibat bahawa kawasan itu akan dibangunkan kelak. 

“Untuk makluman, papan tanda ini ada dipasang pada tahun sebelumnya tapi sering kali rosak akibat vandalisme yang membuatkan MUIS terpaksa memasang semula. 

“Bukan itu sahaja, pada 13 Oktober lalu MUIS telah mengambil langkah untuk membuat Banner Notis Peringatan bagi memperingatkan penduduk kawasan tersebut untuk mengosongkan tanah tersebut pada tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Ramlan berkata, usaha bagi membangunkan kawasan itu telah dimulakan pada 2020 namun terpaksa ditangguhkan berikutan negara dilanda pandemik COVID-19.

“Walaubagaimanapun seperti kita sedia maklum, dunia dilanda COVID-19 yang menyebabkan usaha kita pada ketika itu dihentikan sementara untuk kita tumpukan sepenuhnya kerja-kerja membantu masyarakat pada ketika itu.

“Harapan kami sudah pasti adalah mahu tanah ini bebas daripada masalah setinggan. Dengan menangani isu ini, banyak perkara yang kita selesaikan dalam satu masa seperti masalah kesihatan, gejala sosial setempat dan paling penting MUIS dapat membangunkan kawasan ini yang akan meningkatkan lagi daya ekonomi Labuan amnya,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

MUIS taja kos pendidikan anak Sabah lebih RM25 juta sehingga Oktober...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular