HomeSukanKejohanan Liga Wanita Tempatan mampu lahirkan bakat baru bola sepak di Sabah

Kejohanan Liga Wanita Tempatan mampu lahirkan bakat baru bola sepak di Sabah

Read Time:1 Minute, 40 Second

Kota Kinabalu : Penganjuran Liga Wanita Tempatan Piala Datin Seri Panglima Datuk Hajah Julia Salag yang bermula hari ini mampu mencari bakat baru dalam arena bola sepak wanita khususnya di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kejohanan yang dianjurkan julung-julung kali itu turut diyakini mampu melahirkan lebih ramai pemain-pemain wanita bagi mewakili Sabah dan pasukan Kebangsaan.

“Dengan adanya usaha-usaha pencarian bakat ini, saya berharap kita akan dapat mempertingkatkan lagi kualiti serta mempertahankan lagi kejuaraan Liga Wanita Nasional 2024.

“Semoga dapat meraih pingat Emas di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada bulan Ogos nanti yang akan berlangsung di negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Piala Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan isteri Ketua Menteri Datin Seri Juliah Salag.

Shahelmey yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) turut menyeru kepada presiden-presiden Persatuan Bola Sepak daerah agar dapat mengambil inisiatif mengadakan kejohanan bola sepak di peringkat daerah.

Katanya, ia adalah untuk memastikan Sabah tidak ketandusan pemain-pemain wanita yang berkebolehan.

Kejohanan yang akan turut disertai 17 pasukan itu akan diadakan selama dua hari bermula hari ini sehingga esok.

Dalam pada itu, Shahelmey turut berbangga dengan perkembangan dan pencapaian Bola Sepak Wanita Sabah yang telah mencipta sejarah menjuarai Edisi Pertama Liga Wanita Nasional Tahun 2023 yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Selain itu katanya, pencapaian Pasukan Bola Sepak Wanita Bawah 15 Tahun yang baru-baru ini menyertai Liga Puteri FAM juga mencipta kejayaan mendapat tempat yang ketiga.

“Rentetan kejayaan demi kejayaan ini membuktikan kualiti pemain dan pengurusan bola sepak di negeri Sabah berada pada tahap yang baik.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah sekaligus menghargai perjuangan dan pengorbanan pengurusan, jurulatih-jurulatih dan para pemain yang telah mengharumkan nama negeri Sabah di peringkat kebangsaan.

“Terima kasih juga kepada Sekolah Sukan Malaysia Sabah atas kerjasama yang baik dalam membentuk pasukan bawah 15 tahun untuk mewakili pasukan negeri Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pengalaman Mengecewakan dengan Fly Pass Syarikat Penerbangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular