Kota Kinabalu : Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) sentiasa terbuka bagi menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak khususnya dalam memberi pendedahan kepada murid sekolah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Timbalan Pengarah (Sektor Pembangunan Murid) JPNS Muddin Beting berkata, ia termasuklah membuka peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk membina laluan kerjaya selain mendalami program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Hari ini kita telah menerima kunjungan daripada pihak North Borneo University Collage (NBUC) dan Nine Group Consultant dan kami sangat berterima kasih dan JPNS akan memberikan kerjasama penuh untuk mereka mempromosikan program TVET.
“Saya difahamkan program TVET ini ada ditawarkan di NBUC dan juga program-program lain khususnya di peringkat Diploma; Sarjana Muda; Sarjana dan Master,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerim kunjungan hormat rombongan North Borneo University Collage (NBUC) dan Nine Group Consultant di pejabatnya di sini hari ini.
Hadir sama Naib Presiden NBUC Profesor Jaisam Julparael dan Konsultan Pelajaran (EC) Mohd Hisnain Nassar.
Muddin berkata, pihaknya turut menyokong inisiatif NBUC dalam melaksanakan program jelajah ke seluruh daerah seluruh Sabah.
Katanya, jelajah itu nanti dijangka akan dilaksanakan mengikut zon selain kemampuan dan perancangan pihak NBUC dan Nine Group Consultant.
“Selain NBUC, beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) juga telah sedia ada menjalin kerjasama dengan JPNS sebelum ini dalam memperkenalkan atau mempromosi program yang ditawarkan di IPTA/S masing-masing
“Sama ada secara bersendirian atau pun dengan kerjasama pihak-pihak lain dalam karnival atau promosi secara terus melalui hebahan ke sekolah juga kita akan bantu,” katanya. – SABAH MEDIA