Kota Kinabalu : Semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang terjejas dengan bencana khususnya di negeri Sabah diingatkan untuk segera menghubungi pihak sekolah agar tindakan selanjutnya dapat diberikan.
Timbalan Pengarah (Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Mohd Zaini Yanin berkata, jawatankuasa pengurusan bencana telah diaktifkan di seluruh negeri menerusi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh Sabah.
“Pada hari ini, semua perjalanan peperiksaan berjalan lancar dan kita harapkan proses peperiksaan ini dapat dijalankan dengan teratur.
“Diperingkat negeri kita bersama PPD telah mengaktifkan jawatankuasa pengurusan bencana khususnya bagi menghadapi keadaan cuaca yang tidak menentu seperti banjir.
“Namun kita sentiasa berusaha untuk memastikan setiap calon dapat menduduki peperiksaan sehingga 7 Mac nanti,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pelaksanaan hari pertama peperiksaan bertulis SPM 2023 peringkat negeri Sabah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa mendapat kerjasama dari beberapa agensi Kerajaan di seluruh Sabah khususnya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Maritim Malaysia; Polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memastikan calon ini dapat hadir walaupun dalam keadaan cuaca banjir dan sebagainya.
Terdahulu, Zaini berkata, seramai 38,778 orang calon berdaftar dalam peperiksaan SPM 2023 melibatkan 315 pusat peperiksaan di seluruh Sabah melibatkan 315 buah pusat peperiksaan.
Katanya, seramai 2,448 orang petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.
“JPNS komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM 2023 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur. Bagi pihak JPNS, saya mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera,” katanya. – SABAH MEDIA