TAMBUNAN: Dua penunggang motosikal cedera parah manakala enam mangsa cedera ringan termasuk dua kanak-kanak dalam kemalangan jalan raya yang berlaku melibatkan sebuah kereta berlanggar dengan dua buah motosikal lalu terbabas dan merempuh sebuah rumah di Kampung Dalab Pantai, di sini pada malam Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada jam 9.05 malam tadi (4 Feb).
Katanya, sebaik sahaja sepasukan bomba dari BBP Tambunan tiba di lokasi kejadian mendapati satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM dari arah Tambunan menuju ke Kota Kinabalu berlanggar dengan dua buah motosikal dan seterusnya terbabas lalu merempuh sebuah rumah berhampiran.
“Rempuhan kereta itu mengakibatkan kerosakan sebuah bilik rumah tersebut.
“Kedua-dua penunggang motosikal lelaki masing-masing berusia 19 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan parah manakala empat orang mangsa termasuk dua kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia lima dan empat tahun di dalam kereta berkenaan mengalami kecederaan ringan.
“Turut dilaporkan dua orang penghuni rumah terbabit lelaki dan wanita masing-masing berusia 48 tahun mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.
Menurut Mitchell, kesemua mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian.
“Seterusnya kesemua mangsa yang cedera dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS dan Ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.20 malam,” katanya.