HomeUtamaKPDNHEP Tuaran Sita 96 Kg Gula Pasir Kasar

KPDNHEP Tuaran Sita 96 Kg Gula Pasir Kasar

Read Time:1 Minute, 43 Second

TUARAN : Tindakan seorang lelaki tempatan mahu mengaut untung berlebihan melalui penjualan setiap paket gula pasir kasar melebihi harga siling ditetapkan kerajaan mengundang padah apabila ia ditahan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Tuaran.

Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan selepas didapati memiliki sebanyak 96 kilogram gula pasir kasar yang dipercayai untuk dijual kepada individu yang telah membuat tempahan kepada suspek sekitar Kota Belud hingga Kota Kinabalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP Tuaran Saripudin Moleng berkata, suspek itu ditahan dalam satu serbuan terhadap sebuah kenderaan di Kota Kinabalu selepas ianya disyaki menjual barangan tanpa lesen sah yang dikeluarkan KPDNHEP selain telah menjual melebihi harga siling ditetapkan.

Katanya, suspek dipercayai menjual gula pasir melebihi RM2.85 sekilogram iaitu harga siling yang ditetapkan dimana gula itu telah dijual sehingga RM5 sekilogram bergantung kepada lokasi pembeli.

“Hasil pemeriksaan dalam sebuah kenderaan yang digunakan oleh suspek, sebanyak 96 kilogram gula pasir kasar telah ditemui pada bahagian penyimpanan barang belakang kenderaan terbabit.

Penguatkuasa KPDNHEP ketika melakukan pemeriksaan kepada kenderaan suspek

“Ekoran itu, kami telah menyita semua barangan termasuk kenderaan yang digunakan dengan nilai anggaran keseluruhan sitaan sebanyak RM12,273.60 iaitu merangkumi nilai anggaran 96 kilogram gula berjumlah RM273.60 dan anggaran nilai sebuah kenderaan yang disita bernilai RM12,000,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Saripudin berkata, serbuan itu dijalankan sepasukan pegawai-pegawai penguatkuasa daripada KPDNHEP Tuaran bersama-sama KPDNHEP Sabah berasaskan aduan orang ramai dan hasil risikan yang telah dijalankan selama tiga hari termasuklah penyamaran melalui media sosial.

Katanya, tindakan kes ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, mana-mana individu boleh didenda maksimum RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“KPDNHEP memberikan amaran dan peringatan tegas kepada pihak-pihak tertentu agar tidak mengambil kesempatan semasa keadaan pandemik pada masa ini dengan menjual barang kawalan melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan tidak menyorok barang kawalan dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda.

“Pengguna juga boleh terus menggunakan saluran aduan rasmi KPDNHEP untuk menyalurkan aduan dan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

CIS serah zakat perniagaan RM100,000

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya