Kota Kinabalu : Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan (Ko-Nelayan) Sabah komited untuk terus memperkasa usahawan melalui aplikasi e-dagang bagi membantu memperkembang perniagaan usahawan dan ekonomi digital.
Pengurus Besar Ko-Nelayan Yusof Ag besar berkata, ia termasuklah menyediakan teknologi, penyelesaian terbaik dan ilmu pengetahuan kepada usahawan terlibat.
Katanya, program e-Kan merupakan antara inisiatif pendigitalan bagi mewujudkan gerbang pemasaran secara digital produk dan perkhidmatan yang berasaskan perikanan dan juga membudayakan keusahawanan digital di kalangan usahawan bimbingan Ko-Nelayan.
”Program e-Kan ini adalah seiring dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Pendigitalan Kerajaan Negeri Sabah yang memberi tumpuan khusus kepada peningkatan ekonomi dan mendedahkan usahawan dengan pelbagai kaedah dan teknik untuk meraih jualan serta menjana pendapatan tambahan secara atas talian.
”Jika dilihat perjalanan Program e-Kan ini dari tahun 2021 hingga tahun lalu, seramai 175 usahawan telah berjaya menerima latihan keusahawan digital di bawa program e-Kan dan pada tahun ini, seramai 47 usahawan baru berjaya menghasilkan kedai baru di platform marketplace e-kan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pada majlis penutupan kursus latihan program e-kan dan pelancaran bakul Ramadan 2024 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengurus Besar Ko-Nelayan Suraya Undui.
Sementara itu, Yusof berkata, antara inisiatif istimewa Ko-Nelayan pada tahun ini adalah melaksanakan kempen Ramadan 2024 melalui bakul e-Kan Ramadan 2024 yang akan bermula pada 12 Mac hingga 30 Jun ini.
Katanya, program itu dijangka akan memberi manfaat besar kepada 100 usahawan yang mengikuti program berkenaan khususnya dari segi meningkatkan jualan mereka.
”Besar harapan saya agar program e-Kan ini akan terus berkembang dan menjadi platform yang semakin berjaya dalam membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka.
”Inisiatif ini akan terus memberi manfaat kepada lebih banyak usahawan dan turut memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO Ko-Nelayan