HomeUtamaVisit Sabah 2027: Sabah rancang promosi skala besar di Semenanjung

Visit Sabah 2027: Sabah rancang promosi skala besar di Semenanjung

Read Time:1 Minute, 31 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

SANDAKAN : Sabah merancang untuk melaksanakan promosi berskala besar di Semenanjung pada awal tahun depan sebagai sebahagian usaha memperkenalkan Tahun Melawat Sabah 2027 (Visit Sabah 2027).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, perancangan itu merupakan antara langkah yang sedang disusun bagi memastikan kempen berkenaan dapat dilaksanakan dengan penglibatan kementerian dan agensi berkaitan.

Beliau berkata, pihaknya kini berada pada fasa akhir menyediakan sekretariat Tahun Melawat Sabah 2027 sebelum memperincikan pelbagai aktiviti promosi yang bakal dilaksanakan.

Katanya, perbincangan bersama kementerian dan agensi berkaitan dijangka diadakan dalam bulan ini bagi menyelaraskan perancangan serta pelaksanaan aktiviti berkenaan.

“Kita bercadang untuk membuat pelancaran pada tahun ini dan mungkin kita akan buat sekali pada awal tahun depan di Semenanjung secara besar-besaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Makan Malam sempena ‘Hunt & Explore: Explore Sandakan, Discover Heritage 2026 di sini pada Sabtu.

Menurut Jafry, terdapat perancangan untuk mengadakan pelancaran Visit Sabah 2027 sempena satu program berkaitan penerimaan kapal perang baharu di Semenanjung pada tahun depan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan perkara itu masih pada peringkat perancangan.

Dalam usaha memperkukuh kempen berkenaan, Jafry berkata, aspek ketersambungan udara turut menjadi antara keutamaan bagi memastikan Sabah lebih mudah diakses pelancong dari dalam dan luar negara.

Beliau menyambut baik inisiatif insentif padanan bagi penerbangan sewa khas atau charter flight yang dilihat mampu membantu meningkatkan akses ke destinasi pelancongan di negeri ini.

Katanya, Sandakan juga berpotensi dibangunkan sebagai hab pelancongan antarabangsa berikutan kekayaan tarikan sejarah, alam semula jadi dan hidupan liar yang mampu menarik pengunjung dari pelbagai negara.

Antara tarikan utama di daerah itu ialah Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok dan Pulau Selingan yang terkenal dengan usaha pemuliharaan penyu.

Jafry berkata, usaha memperluas akses penerbangan serta mempergiat promosi destinasi berpotensi menjadi antara pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan Sabah menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.- SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Festival Citra Borneo satukan anak Sabah, Sarawak di perantauan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular