HomeSukanWanita Terus Menyerlah Terajui Kepimpinan Sukan

Wanita Terus Menyerlah Terajui Kepimpinan Sukan

Read Time:2 Minute, 33 Second

KUALA LUMPUR: Penglibatan wanita dalam pengurusan sukan tanah air kini bukan lagi sesuatu yang asing apabila ramai golongan itu telah memegang jawatan penting dalam pucuk kepimpinan yang menjadi penggerak dan pencetus kecemerlangan sukan Malaysia.

Apatah lagi dengan kembalinya seorang wanita untuk menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) apabila Hannah Yeoh dilantik sebagai menteri pada penghujung 2022, menjadikan beliau wanita kedua yang memegang jawatan itu selepas Datuk Seri Azalina Othman Said pada 2004 hingga 2008.

Tidak terkecuali keterampilan golongan wanita juga terserlah dalam carta organisasi, persatuan, badan induk dan agensi sukan seperti Datuk Mumtaz Jaafar yang dipilih sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selama tiga penggal sejak 2014.

Bercakap kepada Bernama, olahragawati negara era 80-an itu berkata, beliau tidak mahu menamatkan karier dalam bidang sukan meskipun sudah lama bersara sebagai atlet malah tekad untuk terus menabur bakti sebagai perintis untuk memajukan sukan tanah air.

Ibu kepada empat orang cahaya mata itu berkata, beliau tidak pernah menjadikan kesibukan menguruskan keluarga sebagai halangan dalam menyumbangkan tenaga dan idea untuk terlibat sama dalam pembangunan negara, terutama dalam pengurusan sukan.

“Sukan memang sudah sebati dalam hidup saya, saya bersyukur saya ada kekuatan untuk memikul tugas saya di samping mengurus rumah tangga, saya sentiasa cari keseimbangan untuk mengurus kedua-duanya dan bukan alasan untuk saya berhenti,” katanya.

Mengimbau kembali pengalaman pahit yang pernah ditempuhnya pada 2019 apabila beliau sanggup mengetepikan masalah kesihatannya yang menghidapi kanser usus tahap tiga untuk mencabar jawatan Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dalam mesyuarat agung tahunan (AGM).

“Pada ketika itu, apa yang penting adalah semangat saya untuk memperjuangkan supaya saya dapat berbakti untuk persatuan. Saya melalui itu semua, kalau saya mahu cerita, dalam bidang sukan sememangnya banyak pengorbanan yang dilakukan, tetapi semangat juang itu penting,” katanya.

Berkongsi cabaran berbeza, Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas), Azura Abidin berkata, kebolehannya sebagai seorang wanita yang memegang jawatan itu sering dipersoalkan apatah lagi beliau merupakan wanita pertama menyandang jawatan itu sejak ia ditubuhkan pada 2007.

Beliau berkata, perkara itu bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya untuk terus memikul tanggungjawab yang telah diberikan sebaliknya membuktikan beliau mampu menerajui agensi terbabit meskipun tidak mempunyai pengalaman ketika awal pembabitannya pada 2019.

“Pada mulanya saya masuk Adamas, saya zero, cabaran besar untuk saya, apatah lagi saya perlu bahagi masa untuk saya uruskan ibu saya yang sedang sakit ketika itu, kakitangan terhad, tapi saya belajar sedikit demi sedikit, patuh dengan kod dan piawaian yang ditetapkan, jalankan tugas dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (Mace) Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Shalin Zulkifli berkata, meskipun telah bersara sebagai pemain boling negara, masih ada tugas yang perlu diselesaikan dengan menabur bakti membantu atlet menerusi jawatan yang disandangnya itu.

Shalin berkata, beliau tidak mahu segala pengalaman dan pengetahuan yang dimilikinya sebagai bekas atlet disia-siakan dan mahu ia dimanfaatkan sebaiknya dalam usaha membantu atlet tanah air.

“Saya sudah lama jadi atlet, 20 tahun berpengalaman dan saya rasa banyak perkara saya boleh sumbang. Saya lihat tak banyak atlet yang berminat meneruskan dalam bidang pengurusan sukan, padahal kita sebagai bekas atlet lebih memahami dan mengetahui apa keperluan atlet,” katanya. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Isu Pelantikan TYT Sabah: KEADILAN Sabah seru hormati perlembagaan, henti sebar...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular