HomeUtamaBot Karam Di Kapit: 2 Anggota Polis Iringi Bahan Letupan Antara 4...

Bot Karam Di Kapit: 2 Anggota Polis Iringi Bahan Letupan Antara 4 Mangsa Hilang

Read Time:1 Minute, 47 Second

KAPIT – Dua anggota polis antara empat mangsa yang masih hilang dalam insiden bot karam di Sungai Batang Baleh, berdekatan jeti Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kapit,  Deputi Superintenden Rohana Nanu berkata, ketika kejadian, kedua-dua anggota polis itu dalam perjalanan dari Kuching ke Ng Tulie, Kapit dengan mengiringi bahan letupan seberat 35 kilogram dan peledak – 1050rds.

Beliau berkata, dua anggota polis yang masih hilang itu ialah Sarjan Jonathan Lambet dari cawangan Kebajikan dan Konstabel Iskandar Ibrahim dari cawangan Persenjataan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kapit.

Rohana berkata, dalam kejadian sekitar 5 petang semalam, dua anggota polis bersama tiga lagi penumpang menaiki bot dari jeti SK Lepong Baleh ke Ng Tulie untuk menghantar bahan letupan berkenaan.

“Semasa sampai di tempat kejadian, bot tersebut membelok ke kiri sedikit menuju ke hulu sungai dan telah menempuh air yang berpusar, menyebabkan bot dinaiki terbalik dan karam ke dalam sungai.

“Seorang mangsa sempat diselamatkan oleh orang awam, manakala empat lagi belum ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, setakat ini keempat-empat mangsa belum ditemukan dan pencarian disambung esok.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Sibu, Andy Alie berkata, mangsa yang berjaya diselamatkan orang awam dikenali sebagai Moses Ngui, 47, manakala dua orang awam yang hilang dikenal pasti sebagai Amerson John Nain dan Jack Balan.

Ketika dihubungi Bernama melalui aplikasi WhatsApp malam tadi, beliau berkata, panggilan mengenai kejadian itu diterima pada pukul 5.25 petang dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, telah tiba di lokasi yang terletak sejauh 13 kilometer itu pada 5.45 petang.

“Menurut saksi yang melihatkan kejadian tersebut, ia berlaku sekitar jam 5 petang di mana seramai lima penumpang menaiki bot fiber (dilengkapi enjin sangkut) 30 kuasa kuda, semasa kejadian berlaku,” katanya.

Beliau berkata, pasukan bomba telah membuat penilaian awal kawasan lokasi, serta mendapatkan maklumat daripada mangsa yang terselamat dan orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut.

“Pasukan bomba membuat pencarian di permukaan air dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa terakhir dilihat. Oleh kerana arus kuat dan keadaan beransur gelap, operasi ditangguhkan pada jam 6.50 petang dan akan disambung pada esok hari,” tambahnya

RELATED ARTICLES
Utama

MUIS, JHEAINS digesa bincang, kajian bina kuarters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular