HomeUtamaJangan persoalkan kedaulatan Sabah dalam Malaysia - Hajiji

Jangan persoalkan kedaulatan Sabah dalam Malaysia – Hajiji

Read Time:1 Minute, 21 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri menolak sekeras-kerasnya sebarang tuntutan ke atas Sabah yang sama dengan mempersoalkan kedaulatan negeri dalam Persekutuan Malaysia. 

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah turut mendapat sokongan masyarakat global mengenai perkara ini yang selaras dengan pendirian kukuh Kerajaan Persekutuan untuk tidak melayan dakwaan terbaharu kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai United Tausug Citizens (UTC).

Beliau turut menegaskan sekali lagi bahawa rakyat Sabah telah memilih untuk bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Oleh itu, sebarang tuntutan luar terhadap negeri Sabah tidak akan diiktiraf oleh Kerajaan Negeri mahupun rakyat. 

“Malah, tuntutan pewaris Kesultanan Sulu yang tidak berfungsi serta tidak berasas itu berakhir dengan pemenjaraan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa,” katanya. 

Hajiji turut menegaskan dakwaan oleh UTC atau mana-mana kumpulan ke atas Sabah tidak lain adalah hanya satu percubaan remeh semata-mata untuk mengganggu-gugat keamanan negeri dan ia sama dengan mengancam kedaulatan negara.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Malaysia tidak melayan sebarang bentuk tuntutan remeh oleh kumpulan digelar sebagai UTC yang mendakwa sebagai ‘penjaga sah Wilayah Kesultanan Sulu’ ke atas Sabah.

Katanya, UTC meminta kerajaan Malaysia untuk membuat pembayaran segera sebanyak US$15 bilion yang didakwa mereka sebagai “Cession Money’’ (Wang Penyerahan Wilayah) dan mengiktiraf UTC sebagai “Kerajaan yang berdaulat dan merdeka”, selain mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia di Amerika Syarikat.

“Ini merupakan percubaan terkini yang remeh dan tidak berasas oleh satu kumpulan untuk menuntut kedaulatan ke atas wilayah Malaysia dan untuk memeras wang secara tidak berasas daripada Malaysia,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

600 keluarga di Sabah terima sumbangan Krismas dari Yayasan PETRONAS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular