HomePendapatKerajaan Sabah perlu pertimbang tubuh agensi khusus lonjak pembangunan industri sawit

Kerajaan Sabah perlu pertimbang tubuh agensi khusus lonjak pembangunan industri sawit

Read Time:7 Minute, 44 Second

Oleh : WAN AZRAIN ADNAN

1.         Siapakah di Sabah yang menerajui pengurusan dan pembangunan industri kelapa sawit di Sabah?

Jawapan mudah: Tidak dapat di pastikan.

2.         Semakan di laman sesawang Kerajaan Sabah (www.sabah.gov.my) menunjukkan tiada kementerian atau agensi Kerajaan Sabah yang berperanan secara khusus untuk menyelia industri kelapa sawit di Sabah. Semakan juga menunjukkan Kementerian Pertanian, Perikanan Dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) tidak mengalas tanggungjawab ke atas industri kelapa sawit di Sabah.

Sumber: Laman sesawang MAFFI Sabah

3.         Secara lazimnya, struktur pentadbiran Kerajaan Negeri akan menyerupai Kerajaan Malaysia, agar fungsi dan tanggungjawab di kedua-dua peringkat pentadbiran dapat di selaraskan. Ini penting untuk menyelaras serta memastikan agenda pembangunan rakyat dapat di laksanakan dengan baik. Oleh yang demikian, fungsi dan tanggungjawab yang di galas oleh sesuatu Kementerian Kerajaan Malaysia akan turut di galas oleh Kementerian Kerajaan Negeri atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

4.         Sebagai contoh. Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia mengalas peranan untuk menyelia industri kelapa sawit di seluruh negara. Justeru itu, di peringkat Kerajaan Negeri, peranan tersebut di galas oleh Kementerian Kerajaan Negeri atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

5.         Di kebanyakkan negeri, portfolio perladangan dan komiditi berkenaan di letakkan bersama dengan portfolio pertanian dan industri makanan di bawah Menteri atau EXCO Kerajaan Negeri, seperti di Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu, Sarawak.

6.         Malah, di Pahang, yang merupakan negeri ke-3 terbesar perladangan kelapa sawit, portfolio perladangan dan komoditi di galas oleh Menteri Besar sendiri. Ini menggambarkan kepentingan industri kelapa sawit kepada sosio-ekonomi Pahang.

7.         Ketiadaan agensi khusus untuk industri kelapa sawit di Sabah adalah memeranjatkan, memandangkan ianya adalah salah satu aktiviti ekonomi utama Sabah. Menurut data Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia, Sabah memiliki lebih 1.5 juta hektar kawasan kelapa sawit. Ini meletakkan Sabah sebagai negeri perladangan kelapa sawit ke-2 terbesar di Malaysia, merangkumi 26.7% daripada jumlah keseluruhan kawasan kelapa sawit di Malaysia.

Sumber: Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia

8.         Sebaliknya, Kerajaan Sabah memiliki agensi khusus untuk menyelia tanaman seperti padi dan getah, walaupun keluasan serta sumbangan kepada ekonomi Sabah adalah jauh lebih kecil berbanding dengan kelapa sawit.

9.         Sebagai contoh. Pada Julai 2023, Ketua Menteri Sabah telah mengumumkan penubuhan semula Lembaga Padi Dan Beras Sabah, setelah di bubarkan pada tahun 1982. Di bawah Belanjawan Sabah 2024, Kerajaan Sabah telah memperuntukkan RM 1.82 juta untuk tujuan tersebut.

10.       Penubuhan semula Lembaga Padi Dan Beras Sabah adalah selaras dengan Rancangan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Dasar Pertanian Negeri Sabah Ke-3. Ini penting di dalam usaha untuk meningkatkan kadar Tahap Sara Diri/ Self-Sufficient Level (SSL) beras Sabah, yang kini berada pada tahap 22%, iaitu paras terendah sejak 1980-an.

11.       Fakta menarik: Kadar Tahap Sara Diri/ Self-Sufficient Level (SSL) beras Sabah telah merekodkan trend menurun yang ketara: 51% (1980-an), 27% (1990), 34% (2000), 41% (2004), 24% (2010), 27% (2019).

12.       Manakala, Kerajaan Sabah menyelia industri getah menerusi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI).

13.       Getah merupakan tanaman ke-2 terbesar di Sabah selepas kelapa sawit, dengan jumlah keluasan 190,822 hektar. Daripada jumlah tersebut, sekitar 70% di usahakan oleh pekebun kecil, melibatkan lebih 85,000 pekebun kecil.

Saiz kawasan getah ini hanyalah 12.6% daripada kawasan kelapa sawit di Sabah.

14.       Sebagai usaha membantu pekebun kecil getah, di bawah Belanjawan Sabah 2024, Kerajaan Sabah telah memperuntukan:

  • RM 20 juta meneruskan Insentif Pengeluaran Untuk Para Pekebun Kecil Getah, sebagai bantuan untuk mengimbangi ketidakstabilan harga getah semasa
  • RM 17.01 juta kepada LIGS untuk tujuan perbelanjaan mengurus dan pembangunan

15.       Maka, ketiadaan agensi khusus bermakna Kerajaan Sabah bergantung tinggi kepada agensi Kerajaan Malaysia untuk menyelia pembangunan industri kelapa sawit di Sabah. Tambahan lagi, di bawah Belanjawan Sabah 2024, tiada peruntukan di umumkan untuk industri kelapa sawit, termasuklah bantuan kepada pekebun kecil kelapa sawit.

16.       Secara am-nya, sebahagian besar perladangan kelapa sawit di Sabah di uruskan oleh syarikat-syarikat kelapa sawit terkemuka seperti – FELDA, FGV, Sime Darby, IOI, Sawit Kinabalu dan Sabah Land Development Board (SLDB).

17.       Pada masa yang sama, menurut data Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia, pekebun kecil persendirian/ independent smallholder mengusahakan 203,680 hektar kawasan kelapa sawit di Sabah. Ini merupakan 13.5% daripada saiz kawasan kelapa sawit di Sabah.

18.       Pekebun kecil persendirian/ independent smallholder ialah pekebun yang menguruskan ladang kelapa sawit secara persendirian, tanpa bernaung atau mendapat bantuan dari mana-mana syarikat kelapa sawit yang besar. Terdapat lebih 32,000 pekebun kecil persendirian di Sabah.

19.       Fakta menarik: Menurut definisi Kerajaan Malaysia, pekebun kecil kelapa sawit ialah pekebun yang mengusahakan ladang kelapa sawit dengan keluasan di bawah 40.46 hektar (100 ekar).

20.       Oleh itu, sekiranya pekebun kecil berkenaan di bantu secara langsung oleh Kerajaan Sabah, ianya akan dapat memberi impak yang besar kepada ekonomi Sabah kerana melibatkan saiz kawasan yang besar (203,680 hektar) dan jumlah pekebun kecil yang ramai (lebih 32,000).

21.       Tambahan lagi, dengan purata isi rumah seramai 4.7 orang di Sabah, bermakna lebih 150,000 rakyat Sabah akan dapat menikmati kesejahteraan hidup yang lebih baik, iaitu hampir 5% daripada jumlah penduduk Sabah (lebih 3.42 juta orang).

22.       Bantuan Kerajaan Sabah boleh di laksanakan menerusi agenda transformasi pekebun kecil dengan mengguna-pakai Model Pertanian Pintar untuk menambah pendapatan pekebun kecil. Model Pertanian Pintar sudah terbukti dapat meningkatkan produktiviti, menjimatkan kos, mengoptimumkan penggunaan racun dan baja, serta menjaga kelestarian alam sekitar.

23.       Agenda transformasi ini wajar di terajui oleh Kerajaan Sabah agar pekebun kecil juga dapat meraih manfaat Model Pertanian Pintar, sepertimana yang dapat di nikmati oleh syarikat kelapa sawit besar yang telah mengguna-pakai Model Pertanian Pintar.

24.       Ini selari dengan kenyataan Ketua Menteri Sabah ketika acara Pameran dan Seminar Pemindahan Teknologi Sabah pada September 2022, bahawa Kerajaan Sabah akan memaksimumkan penggunaan teknologi dan inovasi bagi meningkatkan produktiviti, daya saing dan pembangunan dalam industri kelapa sawit di Sabah.

25.       Agenda transformasi industri kelapa sawit, terutamanya melibatkan pekebun kecil, akan turut menjana pendapatan lebih tinggi kepada Kerajaan Sabah. Di bawah Belanjawan Sabah 2024, Cukai Jualan Negeri Sabah (CJN), yang meliputi cukai minyak sawit mentah (CPO) dan produk petroleum, di anggarkan berjumlah RM 2.49 billion.

Ini merangkumi 43.4% dari anggaran jumlah pendapatan Kerajaan Sabah untuk tahun 2024 (RM 5.737 billion).

26.       Ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Pembantu Menteri Kewangan Sabah menyatakan bahawa Kerajaan Sabah telah mengutip sejumlah RM 1.57 billion Cukai Jualan Negeri minyak sawit mentah pada tahun 2022, menyumbang hampir 23% kepada pendapatan Kerajaan Sabah.

27.       Malah, Kerajaan Sabah telah berjaya mengutip sejumlah RM 19.25 billion Cukai Jualan Negeri minyak sawit mentah untuk tempoh 23 tahun, sejak cukai berkenaan mula di kenakan pada tahun 1999.

28.       Namun begitu, Menteri Kewangan II Sabah di laporkan berkata bahawa siasatan pihak berkuasa mendapati bahawa ada kilang minyak sawit yang mengelak daripada membayar Cukai Jualan Negeri, melibatkan jumlah cukai jutaan ringgit.

29.       Pada Mei 2023, seorang pegawai Kementerian Kewangan Sabah telah di dakwa di mahkamah di atas tuduhan menerima rasuah untuk melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan Cukai Jualan Negeri oleh sebuah syarikat kelapa sawit kepada Kementerian Kewangan Sabah.

30.       Sebagai contoh pengiraan mudah. Untuk tahun 2022, data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) merekodkan Sabah telah menghasilkan sebanyak 4.29 juta tan minyak sawit mentah. Pada tahun 2022, secara purata, harga minyak sawit mentah ialah RM 5,087.50/ tan.

Ini bermakna nilai keseluruhan minyak sawit Sabah ialah RM 21.825 billion.

31.       Maka, dengan kadar cukai 7.5%, jumlah Cukai Jualan Negeri minyak sawit mentah yang sepatutnya di kutip ialah RM 1.64 billion. Tetapi, hanya RM 1.57 billion berjaya di kutip, seperti yang di umumkan oleh Pembantu Menteri Kewangan Sabah, ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

32.       Analisa data menggunakan Model Pertanian Pintar akan dapat membantu Kerajaan Sabah untuk menguruskan kutipan Cukai Jualan Negeri minyak sawit mentah dengan lebih menyeluruh dan berkesan.

33.       Justeru itu, mungkin sudah tiba masanya Kerajaan Sabah mempertimbangkan penubuhan agensi khusus untuk melonjakkan pembangunan industri kelapa sawit di Sabah agar terus berdaya-saing dan mampan, terutamanya pekebun kecil. Ini akan dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil, dan juga pendapatan Kerajaan Sabah.

34.       Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera.

RELATED ARTICLES
Utama

PPS hasrat perkasa wanita muda sebagai pelapis dalam pembuat keputusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular