HomeUtamaKita mahu keputusan positif - Kim Swee

Kita mahu keputusan positif – Kim Swee

Read Time:1 Minute, 38 Second

Kota Kinabalu : Sabah FC melihat masih terlalu awal untuk menetapkan sebarang sasaran pada saingan Liga Super musim 2024/2025 yang akan bermula Ahad ini.

Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, pada masa ini, pihaknya masih memastikan skuad Badak memenangi setiap perlawanan dan memperoleh keputusan yang positif.

“Setiap perlawanan sudah tentu kita ingin menang, kita mahukan keputusan yang positif tapi saya tidak fikir mengenai tiga kelompok teratas buat masa ini.

“Kita perlu mengharungi satu perlawanan ke satu perlawanan dan selepas pertengahan musim kita harus tahu kedudukan kita, di mana kita boleh berakhir bersama semua pasukan,” katanya.

Sabah FC mengakhiri musim lalu di tangga ketiga carta liga selepas menewaskan Kedah FC dalam perlawanan terakhir Liga Super 2023 pada 18 Disember lalu sekali gus mengekalkan kedudukan yang sama dua tahun berturut-turut.

Kim Swee berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas perlawanan akhir Piala SMJ di antara Sabah FC menentang Kuala Lumpur (KL) FC di Stadium Likas, di sini, baru-baru ini.

Pada perlawanan itu, Sabah FC berjaya menjuarai kejohanan Piala SMJ 2024 selepas menewaskan KL City FC dengan jaringan 1-0 yang disudahkan pemain import Ramon Machado pada minit ke-63 menerusi sepakan penalti.

Dalam pada itu, Kim Swee berharap Sabah FC dapat memulihkan kekuatan pasukan menjelang perlawanan pertama Liga Super 2024/2025 menentang Pulau Pinang FC di Stadium Likas, pada 12 Mei ini.

Katanya, kelemahan termasuk dari segi kombinasi pemain sepanjang aksi pra musim Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berakhir malam tadi diberi tumpuan untuk penambahbaikan pasukan.

Beliau mengakui banyak yang dipelajari dalam empat perlawanan sepanjang aksi berkenaan, selain peluang kepada semua pemain untuk mendapatkan minit permainan sebagai persiapan menghadapi Liga Super.

“Banyak yang kita pelajari di sini (kejohanan Piala SMJ), bukan saja kekuatan, kelemahan dan kecederaan, malah termasuk juga apa yang kita lakukan dalam semua perlawanan, ramai pemain diberi peluang untuk bermain.

“Jadi, saya berharap kita akan kembali pulih sepenuhnya sebelum kita bermain  pada minggu depan (Liga Super),” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Dr Maria dilantik Pengarah JKNS baharu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular