Kota Kinabalu : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yakin pasukan mewakili kontinjen Malaysia dalam acara catur di Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Surabaya hujung bulan ini mampu meraih pingat.
Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan Bahagian Perancangan Strategik KPT Dato’ Pekan Ramli berkata, meskipun Malaysia belum ada pemain grand master dalam acara itu namun pihaknya yakin wakil negara mampu memberi saingan yang baik.
“Untuk AUG di Surabaya yang akan bermula pada 25 Jun ini, pasukan catur kita yang dulu bertanding di Ubon Ratchathani Thailand berjaya mendapat empat pingat emas tetapi pada kali ini mereka akan berdepan cabaran yang sangat kuat dari tuan rumah Indonesia.
“Ini kerana kita belum lagi ada seorang grand master dalam acara catur ini. Sasaran kita kali ini dalam acara catur jika dapat satu emas ianya sudah cukup memadai,” katanya,
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Kejohanan Varsity Chess 2024 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini baru-baru ini.
Hadir sama Pengarah Pusat Sukan UMS Ahmadi Nurdin.
Mengulas mengenai kejohanan sehari itu, Pekan berkata,meskipun penyertaan daripada Universiti Awam (UA) kurang namun penyertaan diperingkat sekolah masih menggalakkan.
“Pada tahun ini penyertaan daripada UA dilihat agak kurang sedikit tetapi diperingkat sekolah masih menerima penyertaan yang begitu menggalakkan.
“Secara keseluruhan, lebih kurang 200 lebih peserta telah menyertai dan ini kerana pada tahun ini UA sebenarnya banyak bersedia untuk menghadapi sukan Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang akan berlangsung pada September ini di Universiti Utara Malaysia (UUM),” katanya. – SABAH MEDIA