HomePendapatSektor perdagangan Sabah perlu terus diperluas termasuk penggunaan teknologi terkini

Sektor perdagangan Sabah perlu terus diperluas termasuk penggunaan teknologi terkini

Read Time:5 Minute, 54 Second

Oleh WAN AZRAIN ADNAN

1.        Beberapa hari lepas, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan laporan Statistik Perdagangan Malaysia Mengikut Negeri Tahun 2023.

2.        Secara ringkasnya, laporan tersebut menyediakan maklumat perdagangan negeri-negeri seluruh negara, merangkumi antara lain: barangan serta nilai eksport dan import, rakan dagang utama, prestasi eksport dan import untuk tempoh masa 6 tahun (2018 – 2023).  

3.        Menurut laporan tersebut, pada tahun 2023, Sabah telah merekodkan jumlah perdagangan sebanyak RM 41.463 billion, terbahagi kepada: 

  • eksport: berjumlah RM 31.084 billion, merosot 36.4% dari RM 48.897 billion (2022)
  • import: berjumlah RM 10.379 billion, meningkat 2.1% dari RM 10.170 billion (2022)

4.        Jumlah perdagangan berkenaan masih memberikan lebihan imbangan dagangan/ trade surplus yang besar sebanyak RM 20.705 billion, iaitu hampir 50% daripada jumlah perdagangan Sabah. Malah, dalam tempoh masa 2018 – 2023, Sabah senantiasa merekodkan trade surplus yang besar.

5.        Namun begitu, jumlah trade surplus yang di rekodkan berbeza dengan ketara setiap tahun. Ini jelas menunjukkan perdagangan global yang dinamik dan boleh ‘beralih angin’ dengan mudah serta pantas, melibatkan pelbagai faktor global dan tempatan.

6.        Laporan tersebut turut menunjukkan China adalah Rakan Dagang terbesar Sabah, untuk kedua-dua eksport dan import. Pada masa yang sama, Republic of Korea/ Korea Selatan di rekodkan sebagai antara Rakan Dagang utama Sabah.

Sumber: Statistik Perdagangan Malaysia Mengikut Negeri Tahun 2023
Sumber: Statistik Perdagangan Malaysia Mengikut Negeri Tahun 2023

7.        Selain sebagai Rakan Dagang, Korea Selatan kini merupakan pelabur signifikan yang merancakkan pembangunan sosioekonomi di Sabah. Sebagai contoh. Syarikat SK Nexilis dari Korea Selatan telah melabur melebihi RM 2 billion dengan membina kilang pembuatan kerajang tembaga untuk bateri kenderaan elektrik (EV), yang menyediakan sejumlah 5,000 peluang pekerjaan di Sabah.

8.        Di samping itu, Sabah juga menerima ramai pelancong Korea Selatan setiap tahun. Oleh kerana populariti Sabah sebagai destinasi pelancongan, syarikat-syarikat penerbangan seperti Air Asia, Air Busan dan Asiana Airlines telah menambah jumlah penerbangan di antara Sabah dan Korea Selatan.

9.        Malah, kerjasama erat yang terjalin di antara Sabah dan Korea Selatan menerusi aktiviti perdagangan, pelaburan dan pelancongan telah mendorong Kerajaan Korea Selatan untuk membuka Pejabat Konsulat di Kota Kinabalu pada September 2023.

10.      Menurut laporan tersebut, majoriti eksport barangan Sabah terhasil daripada beberapa industri sahaja, terutamanya: perladangan, minyak dan gas, serta pembalakan. Ketika ini, Sabah tiada eksport barangan yang signifikan dari industri-industri lain seperti pembuatan dan perkilangan.

11.      Justeru itu, Sabah wajar mempelbagaikan/ diversify aktiviti ekonomi dengan menggalakkan pembangunan industri-industri lain, agar tidak terlalu bergantung kepada beberapa industri sahaja, terutamanya kelapa sawit serta minyak dan gas.

Sumber: Statistik Perdagangan Malaysia Mengikut Negeri Tahun 2023

12.      Sebagai contoh. Eksport barangan berkaitan kelapa sawit merangkumi 59% (RM 18.326 billion) daripada keseluruhan eksport barangan Sabah:

  • minyak kelapa sawit (RM 15.291 billion: 49.2%)
  • minyak isirung kelapa sawit (RM1.289 billion: 4.1%)
  • oleokimia berasaskan kelapa sawit: (RM 1.123 billion: 3.6%)
  • dedak isirung kelapa sawit: (RM 0.358 billion: 1.2%)
  • hasil keluaran kelapa sawit yang lain: (RM 0.265 billion: 0.9%)

13.      Perkara yang menarik ialah industri kelapa sawit masih boleh memberikan nilai yang lebih tinggi kepada Sabah dengan membangunkan aktiviti hiliran/ downstream. Sabah, walaupun merupakan negeri pengeluar minyak kelapa sawit terbesar di Malaysia, tidak menghasilkan banyak oleokimia berasaskan kelapa sawit, berbanding dengan negeri-negeri lain.

14.      Menurut Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), sehingga Ogos 2022, terdapat 20 kilang oleokimia di Malaysia. Namun begitu, tiada satu pun kilang oleokimia di bina di Sabah dan Sarawak, walaupun Sabah dan Sarawak merangkumi hampir 55% daripada jumlah kawasan kelapa sawit di Malaysia.

15.      Menurut beliau lagi, pasaran oleokimia global telah mencecah USD$ 22.5 billion pada tahun 2021, dan di jangka meningkat kepada USD$ 33.9 billion menjelang tahun 2027, dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 7.2% antara tahun 2022 – 2027.

16.      Pada Oktober 2022, Ketua Menteri Sabah telah menzahirkan harapan agar aktiviti hiliran/ downstream industri kelapa sawit dapat di kembangkan, termasuklah pembinaan kilang oleokimia, agar memberi lebih nilai-tambah kepada eksport Sabah. Menurut beliau, Kerajaan Sabah telah membangunkan Palm Oil Industrial Clusters (POIC) di Lahad Datu dan Sandakan sebagai hab pembangunan aktiviti hiliran kelapa sawit.

17.      Pada tahun 2017, media telah melaporkan bahawa Sabah akan memiliki kilang oleokimia pertama, yang bakal di bina oleh syarikat Gamalux Oil di POIC Lahad Datu dalam tempoh masa 2 tahun. Dan pada tahun 2022, media telah melaporkan bahawa pembinaan kilang oleokimia oleh Gamalux Oil di jangka siap pada tahun 2024. Sejak itu, tiada laporan terkini untuk memastikan status perkembangan pembinaan kilang oleokimia berkenaan.   

18.      Manakala, laporan tersebut menunjukkan nilai import barangan ke-2 terbesar Sabah adalah beras iaitu RM 613 juta, merangkumi 5.9% daripada jumlah keseluruhan import barangan Sabah untuk tahun 2023.

Sumber: Statistik Perdagangan Malaysia Mengikut Negeri Tahun 2023

19.      Nilai import beras Sabah telah meningkat sebanyak 18.2% berbanding dengan tahun 2022. Malah, dalam tempoh masa 6 tahun (2018 – 2023), nilai import beras Sabah telah meningkat dengan ketara sebanyak 35.9% (RM 162 juta), dari RM 451 juta kepada RM 613 juta.

20.      Peningkatan import beras yang ketara ini menggambarkan dengan jelas situasi industri padi dan beras Sabah yang membimbangkan. Ketika ini, Sabah terpaksa mengimport hampir 80% beras untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan.

21.      Kebergantungan tinggi kepada import beras berlaku kerana Kadar Sara Diri/ Self-Sufficient Level (SSL) beras Sabah yang begitu rendah, iaitu sekitar 22% sahaja. Sejak tahun 1980-an, kadar SSL beras Sabah telah mencatatkan trend menurun yang ketara: 51% (1980-an), 27% (1990), 34% (2000), 41% (2004), 24% (2010), 27% (2019).

22.      Justeru itu, penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) baru-baru ini di harap dapat merubah trend penurunan kadar SSL beras Sabah, dan seterusnya meningkatkan produktiviti, daya-saing dan kemampanan industri padi dan beras Sabah. Jika LPBS gagal, sudah pasti nilai import beras Sabah akan terus meningkat dan meningkat untuk jangka masa panjang.

23.      Oleh yang demikian, untuk meningkatkan daya-saing dan kemampanan industri padi dan beras Sabah, serta sektor perladangan seperti kelapa sawit, semua pihak berkepentingan mestilah sedia menerima dan mengguna-pakai teknologi terkini, antaranya: dron, robotik, Internet of Things (IOT) dan Artificial Intelligence (AI)

24.      Penggunaan teknologi terkini di dalam sektor pertanian dan perladangan tidak wajar di nilai berdasarkan kos teknologi semata-mata. Sebaliknya, penggunaan teknologi sewajarnya di nilai secara menyeluruh berlandaskan prinsip ESG (Environmental, Social, Governance) dan 3P (Profit, Planet, People).

25.      Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera.

RELATED ARTICLES
Pendapat

Sabah wajar gandakan pelaksanaan Model Pertanian Pintar dalam industri kelapa sawit...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular