HomePolitikKestabilan politik agenda utama Kerajaan khususnya di Sabah

Kestabilan politik agenda utama Kerajaan khususnya di Sabah

Read Time:1 Minute, 58 Second

Tuaran : Kestabilan politik dalam memastikan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan perlu menjadi agenda utama Kerajaan Perpaduan khususnya di Sabah.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, atas dasar itu beliau mengambil pendirian bahawa kebersamaan dalam perjuangan dengan parti atau organisasi lain itu  adalah penting.

“Walaupun saya tahu ada di kalangan rakan-rakan yang memberikan pandangan bahawa saya harus menilai semula keputusan untuk datang merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Tuaran kerana keberadaan Ketua Menteri Sabah, rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan juga pemimpin dari PH.

“Itu nasihat kawan-kawan, namun saya melakukan istikarah, siapapun yang datang, ini adalah kawan-kawan saya dan saya mengambil risiko untuk datang ke Tuaran ini bukan bererti kita meninggalkan mana-mana kawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tuaran di Dewan Sri Sulaman di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang diundang khas Ketua Bahagian UMNO Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Hadir sama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Christina Liew dan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.

Kehadiran Hajiji pada majlis itu turut mendapat perhatian berikutan hubungan dingin beliau dengan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin selepas UMNO Sabah pada awal tahun lalu menyatakan hilang kepercayaan terhadapnya dan kerajaan pimpinan GRS.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, politik merupakan sesuatu yang dinamik apabila dahulu menjadi rakan dan kini menjadi musuh.

“Bagi saya soal musuh kamu, itu hal kamu, sahabat kamu adalah sahabat saya juga. Untuk itu, maka kebersamaan kita dalam perjuangan, sama ada parti atau mana-mana organisasi kesukarelawanan, pendirian kita harus jelas.

“Di sana memang ada musuh menanti, tapi kita harus ingat bahawa tidak ada rakan yang kalah dan tidak ada musuh tetap kalah tetapi kita tahu bahawa politik adalah sesuatu yang sangat dinamik.

“Dulu kawan, sekarang musuh, sekarang musuh yang akan datang mungkin akan jadi kawan kerana politik itu dinamik. Apa yang penting ialah kestabilan politik harus jadi tajuk utama kepada kesejahteraan rakyat secara keseluruhan khususnya di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, semua pemimpin perlu mempelajari soal adab atau akhlak bagi menangani perbezaan pendapat yang berlaku.

“Perbezaan pendapat itu boleh diraikan  tetapi ada adab, ada akhlak dan ada tatacara untuk menanganinya. Maka dalam keadaan itulah saya amat menghormati keberadaan Ketua Menteri dalam majlis UMNO ini,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Politik

PRN-17 : DUN Kuala Penyu mampu sumbang kerusi untuk GRS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular