PAPAR: Minggu Integriti dilaksanakan bagi memberi kesedaran semula kepada semua kepentingan dan keperluan adanya integriti dalam diri sebagai penjawat awam dalam pelaksanaan tugasan dan tanggungjawab.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan I, Datuk Isnin Aliasnih berkata, integriti dalam kalangan penjawat awam adalah suatu yang penting dalam memastikan seseorang itu bertindak secara amanah, penuh bertanggungjawab, tidak melibatkan konflik peribadi dalam membuat sebarang tindakan atau keputusan, sentiasa ada sifat telus, akauntabiliti yang tinggi dan sentiasa bersandarkan kepada undang-undang dan peraturan sedia ada.
“Oleh itu, elemen-elemen amalan baik berteraskan nilai murni yang telah digariskan dalam Pelan Antirasuah Organisasi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan 2021-2025 perlu dihayati dan diamalkan oleh semua pihak, terutamanya penjawat awam.
“Sehubungan dengan itu, integriti sewajibnya menjadi pegangan kukuh dan amalan setiap individu di dalam organisasi.
“Hal ini adalah sangat penting kerana apabila kita mempunyai kesedaran, percaya serta menjadikan integriti sebagai amalan seharian, maka akan wujudlah satu persekitaran kondusif untuk pembudayaan nilai integriti dalam organisasi kita.
“Maka impaknya akan terhasil adalah keberkesanan dan kecekapan dalam sistem penyampaian kita dan seterusnya akan meningkatkan produktiviti organisasi kita,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Minggu Integriti Kementerian (MIK) 2024 Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan di Dewan Terbuka Pantai Manis, di sini, pada Sabtu (6 Julai).
Terdahulu, Isnin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias berkata, pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dicetuskan oleh Ketua Menteri.
“Datuk Seri Hajiji Noor, telah menggariskan Kecemerlangan Tadbir Urus Yang Berintegriti sebagai pemboleh daya transformasi ke arah meningkatkan ketelusan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.
“Di peringkat negeri, usaha-usaha ini diterajui oleh Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri atau lebih dikenali sebagai BIGoNS dengan memfokuskan kepada pemantapan tadbir urus integriti dan antirasuah melalui penginstitusian dasar dan polisi.
“Selain, melebarkan kumpulan sasar kepada seluruh penjawat awam negeri dan lapisan masyarakat.
“Mempelbagaikan pendekatan yang lebih interaktif, menarik dan berkesan dalam menyuntik penghayatan dan kesedaran membudayakan integriti.
“Memanfaatkan teknologi digital yang mesra pengguna dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” jelasnya.
Beliau berkata, pelaksanaan Minggu Integriti Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Tahun 2024 merupakan salah satu inisiatif yang menyumbang kepada pemantapan pengurusan Governans, Integriti dan Antirasuah yang diselaraskan oleh Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Selain itu, usaha ini adalah selaras dengan aspirasi Ketua Menteri agar Sabah menjadi pelopor, peneraju dan penanda aras dalam pengurusan Governans, Integriti dan Antirasuah di Malaysia,” katanya.
Hadir sama Setiausaha Tetap, Datuk Dr. Jamili Nais, Pegawai -pegawai Eksekutif serta kakitangan kementerian.