HomeUtamaPeranan Setiausaha Parlimen, DUN kritikal - Kadzim

Peranan Setiausaha Parlimen, DUN kritikal – Kadzim

Read Time:2 Minute, 22 Second

Kota Kinabalu:  Peranan Setiausaha Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah kritikal dalam menjamin kelancaran proses legislatif dan pentadbiran negara.

Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M. Yahya berkata, selain memerlukan kefahaman mendalam tentang prosedur parlimen dan perundangan, golongan berkenaan juga bijak menangani cabaran politik semasa tanpa berpihak, sekali gus mengekalkan tradisi dengan tuntutan pemodenan.

 “Anda adalah tulang belakang yang menyokong institusi demokrasi kita, memastikan prosedur parlimen dipatuhi, dan memudahcara dialog antara pihak eksekutif dan legislatif. 

“Tugas anda yang tidak ternilai ini menjadi asas kepada kestabilan dan kecekapan sistem pemerintahan kita dan sistem raja berperlembagaan. 

“Peranan anda membantu Speaker sebagai penjaga tradisi parlimen adalah penting untuk memastikan institusi demokrasi kita terus kukuh dan berfungsi dengan berkesan.

“Keupayaan anda untuk mengimbangi keperluan untuk mengekalkan tradisi dengan tuntutan pemodenan adalah amat penting dalam era yang semakin mencabar ini,” katanya.

Mengenai cabaran tugas, Kadzim berkata, golongan terbabit berdepan dengan cabaran utama untuk mengekalkan kerelevanan institusi legislatif dalam era digital.

“Dalam era yang semakin mencabar ini, peranan anda menjadi lebih penting dari sebelumnya khususnya dalam mengimbangi tuntutan modernisasi dengan keperluan untuk mengekalkan integriti proses demokrasi berparlimen. 

“Cabaran seperti digitalisasi rekod parlimen, pengurusan sidang secara hibrid, dan memastikan ketelusan yang lebih tinggi dalam proses perundangan, memerlukan inovasi dan adaptasi berterusan.

“Dengan kemajuan teknologi dan perubahan dalam cara masyarakat berinteraksi dan mendapatkan maklumat, anda perlu mencari cara-cara baharu untuk memastikan proses parlimen kekal telus, mudah diakses dan bermakna kepada rakyat,” katanya.

Di samping itu, Kadzim berkata, Setiausaha-setiausaha Parlimen dan DUN juga berdepan dengan cabaran yang signifikan iaitu menangani polarisasi politik yang semakin meningkat. 

“Sebagai pengawal institusi demokrasi, golongan itu perlu memainkan peranan penting dalam memastikan perbahasan yang sihat dan membina dan membantu Speaker mengekalkan dekorum dan integriti dewan yang mulia.

“Dalam konteks sejarah, institusi Setiausaha Parlimen dan Dewan Undangan Negeri telah mengalami evolusi yang ketara sejak zaman prakemerdekaan. 

“Peranan ini telah berkembang dari fungsi pentadbiran semata-mata kepada satu jawatan yang memerlukan kepakaran undangundang, pemahaman mendalam tentang prosedur parlimen, dan kebolehan untuk menangani isu-isu kompleks dalam arena politik dan perundangan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Setiausaha-setiausaha Parlimen dan DUN Se-Malaysia Yang Pertama di sini, di sini semalam.

Dalam ucapannya, beliau menyarankan para peserta agar memanfaatkan peluang berkenaan sebagai platform untuk meneroka idea-idea baharu, mencabar status quo dan mencari penyelesaian inovatif untuk meningkatkan fungsi parlimen dan DUN. 

Persidangan yang julung-julung kali diadakan itu memilih Sabah sebagai tuan rumah dengan penyertaan kesemua negeri dan dua kertas kerja akan dibentangkan sepanjang tiga hari persidangan mulai semalam.

Hadir sama, Timbalan-timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Richard Yong We Kong dan Datuk Al Hambra Juhar; Setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujari Abdullah; Setiausaha Dewan Rakyat, Dr. Nizam Mydin Bacha Mydian; Setiausaha DUN Sabah, Rafidah Maqbool Rahman serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular