HomeUtamaMiskin tegar dalam senarai locked figure telah dinoktahkan - Sekretariat SMJ

Miskin tegar dalam senarai locked figure telah dinoktahkan – Sekretariat SMJ

Read Time:2 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Sekretariat Sabah Maju Jaya, Jabatan Ketua Menteri menerusi satu kenyataan medianya hari ini menjelaskan berkaitan Menoktahkan Miskin Tegar susulan pengumuman oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, bermula pada 31 Mei 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Sabah akan menoktahkan senarai Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin Tegar di dalam Locked Figure (LF) iaitu seramai 22,510 KIR pada penghujung Julai 2024.

“‘Locked figure’ bermaksud sasaran bilangan miskin tegar yang dikunci pada 31 Januari 2023 untuk dinoktahkan dalam Program Menoktahkan Kemiskinan Tegar.

“Pengiraan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2022 miskin tegar bagi Negeri Sabah adalah RM 1,218 bagi isi rumah dan RM 288 per kapita.

“Pengiraan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan Miskin Tegar ditentukan berdasarkan keperluan minimum tenaga/ kalori bagi setiap isi rumah yang mengambil kira piramid makanan dan amalan pemakanan seimbang oleh World Health Organization (WHO) dan Recommended Dietary Allowance (RDA). Ini bagi memastikan setiap isi rumah dapat menjalani kehidupan sihat dan aktif dalam masyarakat,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pada 13 September 2023, Kerajaan Negeri telah mempertanggungjawabkan Sekretariat Sabah Maju Jaya (Sekretariat SMJ) bagi pelaksanaan intervensi bantuan untuk menyelesaikan locked figure miskin tegar kepada 22,510 KIR.

“13 Indikator tambahan telah dibangunkan oleh Sekretariat SMJ untuk tujuan penyelarasan dan keutamaan intervensi bantuan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Sekretariat SMJ telah berkolaborasi bersama Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, ICU JPM bagi pelaksanaan gerak kerja lapangan bagi tujuan profiling, pemutihan dan pemadanan bantuan kepada 22,510 KIR.

“Gerak kerja di lapangan bertujuan bagi pelaksanaan pemadanan intervensi bantuan kepada KIR/AIR Miskin Tegar mengikut keperluan isi rumah. Bantuan yang ditawarkan adalah bersifat jangka masa pendek, sederhana dan panjang seperti bantuan Perumahan di bawah Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya, bantuan program pendidikan, padanan pekerjaan bersama Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GLC) dan pemain-pemain industri, program peningkatan pendapatan serta bantuan bulanan tunai kepada isi rumah yang tidak produktif iaitu mereka yang berumur melepasi umur persaraan,” jelasnya.

Turut memaklumkan, pada masa sama, pelbagai bantuan daripada kerajaan persekutuan dan negeri seperti bantuan bulanan daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am berupa Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Warga Emas, Bantuan Orang Kelainan Upaya, bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) daripada Kementerian Kewangan Malaysia dan bantuanbantuan pendidikan dan usahaniaga telah disalurkan. Namun, disebabkan bilangan isi rumah yang ramai iaitu purata 6 orang ke atas maka pendapatan yang diterima tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan makanan keluarga.

Katanya, pada 23 Julai 2024, Kerajaan Negeri melalui keputusan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah Bil. 2/2024 telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2,850,537.00 sebagai bantuan tambahan kepada 1,147 KIR yang masih kekal status Miskin Tegar pada 20 Julai 2024.

“Pada 13 Ogos 2024, YAB Ketua Menteri telah mengumumkan bahawa miskin tegar dalam senarai locked figure telah dinoktahkan.

“Walau bagaimanapun, data dinamik di dalam pangkalan data eKasih menunjukkan seramai 4,634 Ketua Isi Rumah (KIR) masih berstatus miskin tegar yang sedang dipantau oleh Sekretariat SMJ.

“Angka 4,634 KIR ini adalah merupakan permohonan baharu yang berdaftar dalam sistem eKasih, tidak berdaftar dan perubahan status miskin kepada miskin tegar.

“Bilangan ini akan ditangani di bawah fasa dua Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah.

“Kerajaan Negeri akan mengumumkan data locked figure (LF) yang baharu pada penghujung tahun ini,” jelas kenyataan itu.

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Agong Lawat China: Usaha Tarik Pelaburan Bagi Projek Kereta Api Johor-Singapura

Jabatan Meteorologi Malaysia Hujan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular