HomeUtamaSemua pihak perlu tangani, cegah gangguan seksual

Semua pihak perlu tangani, cegah gangguan seksual

Read Time:2 Minute, 2 Second

Kota Kinabalu : Semua pihak perlu memainkan peranan bagi menangani dan mencegah isu gangguan seksual yang bukan sahaja satu jenayah, tetapi juga masalah sosial.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata,  gangguan seksual memberi kesan mendalam kepada individu yang mengalaminya serta merosakkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita semua tidak kira peringkat umur, jantina atau latar belakang untuk berganding bahu dalam memerangi masalah ini dan memastikan bahawa semua orang dapat hidup serta bekerja dalam persekitaran yang selamat dan menghormati hak serta maruah masing-masing.

“Selain itu, masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam menentang gangguan seksual dengan meningkatkan kesedaran serta memberi sokongan kepada mangsa dan melaporkan kes-kes yang berlaku menggunakan saluran yang betul  dengan melaporkan kepada pihak Polis Diraja  Malaysia (PDRM) dan Tribunal Antigangguan Seksual (TAGS).

“Dalam mencapai matlamat ini, penting untuk kita semua mengambil tanggungjawab masing-masing iaitu institusi-institusi pendidikan perlu menyediakan pendidikan dan latihan mengenai gangguan seksual kepada pelajar serta kakitangan, majikan dan organisasi juga perlu  memastikan bahawa tempat kerja adalah selamat dan bebas daripada gangguan seksual,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penutupan Forum ‘Celik Hak: Tribunal bagi Antigangguan Seksual’  di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan rakyat, Datuk Flovia Ng.

Forum tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dalam menangani dan mencegah isu gangguan seksual yang semakin mencabar dalam masyarakat.

Di samping itu, Hajiji berkata program itu merupakan platform strategik dan signifikan dalam meningkatkan kesedaran serta membincangkan langkah-langkah pencegahan serta memperkukuhkan usaha-usaha dalam menangani isu gangguan seksual secara holistik.

“Penting untuk kita berkongsi pengetahuan, pengalaman dan pandangan tentang gangguan seksual dengan kehadiran panel-panel terkemuka dan pakar-pakar dalam bidang masing-masing.

“Melaluinya kita dapat mendalami pelbagai aspek tentang gangguan seksual termasuk bagaimana boleh dielakkan dan memberi sokongan kepada mangsa serta penyaluran aduan mengikut saluran yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya pada program yang dihadiri lebih 180 peserta itu.

Para peserta forum itu terdiri daripada pegawai-pegawai jabatan dan agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Majlis Perwakilan Pelajar IPTA/IPTS dan badan bukan kerajaan (NGO) forum tersebut merupakan anjuran Jawatankuasa Undang-Undang Majlis Penasihat Wanita Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah selaku urusetia dengan kerjasama Tribunal Antigangguan Seksual.

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular