HomeUtamaRM60 juta peruntukan bina fasa 3 IPDAS Keningau

RM60 juta peruntukan bina fasa 3 IPDAS Keningau

Read Time:2 Minute, 40 Second

KENINGAU: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta untuk pembinaan fasa ke-3 Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Keningau bagi menampung pertambahan pelajar seramai 300 orang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pembinaan yang sedang berjalan itu dijangka siap pada Mac 2026, menjadikan kapasiti sebenar mahasiswa yang boleh ditampung oleh IPDAS Kampus Keningau, kepada seramai 700 orang.

“Saya yakin, dengan pertambahan jumlah mahasiswa itu nanti, IPDAS akan dibekalkan dengan para pensyarah dan tenaga kerja yang terlatih dan mencukupi, bagi memastikan projek ini bukan sahaja mampu memberi kemudahan infra yang lebih kondusif kepada para mahasiswa dan warga kerjanya, bahkan mampu melonjakkan lagi tahap kualiti pendidikan di Sabah.

“Saya amat mengalu-alukan langkah Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mengambil berat soal menaiktaraf kemudahan pendidikan di Sabah, khususnya IPDAS”, katanya pada Majlis Istiadat Konvokesyen IPDAS Kali Ke-18,Tahun 2024 di Dewan Tun Sakaran, IPDAS pada Selasa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor (duduk tengah) dan tetamu khas lain bergambar bersama para penerima anugerah khas sempena Majlis Istiadat Konvokesyen ke -18 Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Keningau di Dewan Tun Sakaran institut itu pada Selasa. – Foto ihsan JKM Sabah

Beliau yakin IPDAS sebagai sebuah institusi Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) di bawah JAKIM berupaya menggalas tanggungjawab melahirkan generasi Rabbani yang berpendidikan tinggi, membentuk modal insan yang berkeupayaan sebagai pendakwah profesional dalam kalangan masyarakat.

Katanya, kerajaan negeri mempelawa para pelabur datang dan melabur di Sabah dengan tujuan untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi, sekaligus mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak muda.

“Selain mendedahkan anak-anak tempatan kepada berbagai jenis latihan, termasuk latihan kemahiran, disamping menggalakkan pemindahan teknologi tinggi untuk dimanfaatkan oleh rakyat negeri ini.

“Ini sebenarnya merupakan aktiviti ke arah pembangunan modal insan, disamping pembangunan sektor ekonomi negeri seperti yang termaktub dalam Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri sekarang”, katanya.

Katanya, dengan adanya para pelabur asing membuka kilang, mendirikan gedung-gedung perniagaan, melabur dalam pelbagai bidang pertanian dan perindustrian akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

“Justeru, kerajaan negeri akan sentiasa memastikan anak-anak negeri ini dapat meneruskan pengajian hingga ke peringkat lebih tinggi, menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan,” ujarnya.

Jelas beliau, ini seiring dengan matlamat kerajaan negeri yang memberi keutamaan kepada pendidikan bagi melahirkan modal insan berdaya saing, berkemahiran dan berkualiti tinggi.

“Hanya menerusi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pendidikan tinggi anak-anak kita dapat bersaing dan berjaya sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan Sabah khususnya”, katanya.

Hajiji juga mengingatkan para graduan yang berhasrat menerokai alam pekerjaan agar jangan terlalu memilih kerja dan menginginkan gaji yang besar semata-mata, kerana menurutnya zaman kini tidak sama seperti zaman dahulu dimana jawatan kosong sentiasa tersedia untuk diisi.

Sementara itu, menurut Hajiji, istiadat konvokesyen itu juga merupakan simbol kejayaan IPDAS dalam menghasilkan warga yang berilmu dan bertaqwa, setanding dengan pencapaian institusi pengajian tinggi lain di negara ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong, Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin dan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng.

RELATED ARTICLES
Utama

PRN boleh diadakan bila-bila masa – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular