HomeUtamaPersiapan sambutan Hari Sabah berjalan lancar

Persiapan sambutan Hari Sabah berjalan lancar

Read Time:1 Minute, 18 Second

Kota Kinabalu: Persiapan Sambutan Hari Sabah 2024 yang akan diadakan serentak dengan Hari Kebangsaan pada tahun ini berjalan lancar dengan pengisian pelbagai program menarik.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata, sambutan yang julung kali diadakan itu bukan sahaja menjanjikan suatu perayaan yang meriah tetapi perlu memberikan makna dan inspirasi kepada penduduk di Sabah.

“Pertama kalinya Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin akan merasmikan sambutan Hari Sabah pada tahun ini. Pada hari tersebut, kita juga akan mengadakan konsert dan beberapa program lain seperti kereta berhias.

“Selain itu, kita juga akan menerima bendera-bendera daripada pelari-pelari di seluruh Sabah yang mana salah satu daripadanya akan saya serahkan kepada Tun Juhar.

“Persiapan setakat ini berjalan lancar dan kita harapkan cuaca pada hari sambutan adalah baik kerana kita meraikannya di kawasan yang terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Juhar di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.

Jeffery yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sabah 2024 berkata, terdapat juga aktiviti -aktiviti menarik lain yang diadakan sempena sambutan berkenaan yang bermula sejak 24 Ogos lalu.

Katanya, ia termasuklah konsert, tamu-tamu, ceramah, pameran sejarah dan juga pertandingan puisi.

“Hari Sabah 2024 bukan hanya sekadar perayaan, tetapi juga satu manifestasi semangat perpaduan, kebanggaan negeri serta kemajuan bersama.

“Melalui persiapan yang rapi ini, Sabah kini bersedia untuk menyambut Hari Sabah dengan penuh gemilang dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada semua yang terlibat pada hari tersebut,” katanya.

Sambutan Hari Sabah 2024 akan berlangsung di Padang Merdeka Kota Kinabalu Sabtu ini, bermula jam 6 petang.

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular