HomeUtamaIndeks Pendayaupayaan Pengguna Malaysia meningkat 70.36 peratus

Indeks Pendayaupayaan Pengguna Malaysia meningkat 70.36 peratus

Read Time:1 Minute, 37 Second

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan peningkatan skor Indeks Pendayaupayaan Pengguna (Consumer Empowerment Index, CEI) 2025 kepada 70.36 peratus, berbanding 63.1 peratus pada 2020.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kajian CEI dilaksanakan bagi menilai tahap pendayaupayaan pengguna merangkumi literasi kewangan, keupayaan membuat keputusan pembelian serta pemahaman dan pelaksanaan hak pengguna untuk mendapatkan penyelesaian dan ganti rugi.

Beliau berkata, CEI 2025 mencatatkan peningkatan sebanyak 7.26 mata peratusan berbanding kajian asas pada 2020, dengan penandaarasan turut dilaksanakan terhadap negara terpilih, termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan Korea Selatan, bagi menilai metodologi, instrumen, pengukuran indeks serta program pemerkasaan pengguna.

Menurutnya, tiga domain utama kajian itu turut menunjukkan peningkatan, iaitu Domain Keputusan Pembelian sebanyak 7.11 mata peratusan kepada 75.91 peratus, Domain Literasi Kewangan meningkat 3.97 mata peratusan kepada 66.47 peratus, manakala Domain Tindakan Penyelesaian meningkat 10.74 mata peratusan kepada 66.84 peratus.

“Peningkatan itu mencerminkan perkembangan positif dari segi pengetahuan dan keyakinan pengguna untuk membuat keputusan pembelian serta mengambil tindakan bagi melindungi hak mereka, termasuk mengemukakan aduan dan menuntut penyelesaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, KPDN akan terus memperkasa Gerakan Pengguna Siswa (GPS), yang dianggotai mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT), bagi meningkatkan pendidikan dan advokasi kepenggunaan dalam masyarakat.

Usaha itu selaras dengan tema Hari Pengguna Kebangsaan 2026, “Kita Pengguna: Suara Kita, Kuasa Kita”, yang menekankan peranan mahasiswa dalam meningkatkan kesedaran mengenai hak dan tanggungjawab pengguna serta membudayakan amalan kepenggunaan yang bijak, beretika dan bertanggungjawab.

Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa (MPGPS) Peringkat Kebangsaan 2026 berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur, dari 19 hingga 21 Oktober, dengan penyertaan 200 peserta GPS daripada 100 IPT.

Program itu merangkumi Pertandingan Cabaran Eksplorasi GPS 2026, lawatan lapangan bersama penguat kuasa KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sesi perkongsian ilmu, pembentangan GPS Idea Lab serta penyerahan Geran Ihsan Food Bank (i-FB).

Setakat ini, sebanyak 196 kelab GPS telah berdaftar di seluruh negara.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan larang penjawat awam guna Waze

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular