HomeUtamaPermainan tradisional SK Kg Bahagia gamit kenangan zaman kanak-kanak

Permainan tradisional SK Kg Bahagia gamit kenangan zaman kanak-kanak

Read Time:1 Minute, 35 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

NABAWAN: Karnival Permainan Tradisional Sempena Bulan Kebangsaan 2024 menggamit kenangan nostalgia zaman kanak-kanak setiap pengunjung.

Karnival yang julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Panitia Sejarah dengan kerjasama panitia-panitia lain Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahagia Nabawan diadakan di padang sekolah berkenaan pada Khamis (29 Ogos) bermula pukul 7.00 pagi sehingga 12.40 tengah hari.

Kira-kira 400 orang terdiri daripada murid, guru, staf sekolah, Ahli Jawatankuasa (AJK) asrama, pengawal keselamatan, pekerja pembersihan dan ibu bapa hadir memeriahkan karnival itu.

Ketua Panitia Sejarah selaku Penyelaras Program, Cikgu Viettylea Gipin berkata terdapat lapan permainan tradisional yang terlibat seperti keting-ting, main guli, zero-point, galah panjang, tuju selipar, sepak raga dan boling kelapa.

“Objektif karnival ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada generasi muda berkaitan tentang keunikan dan keseronokan bermain permainan tradisional itu.

“Memandangkan karnival ini pertama kali diadakan secara besar-besaran, semua pihak sangat teruja untuk menyertai.

“Tambahan lagi, terdapat murid yang belum pernah bermain permainan tradisional ini,” katanya ketika dihubungi Sabah Media pada Khamis.

Menurut Viettylea, untuk pakaian, pihak penganjur menjadikan pakaian tema 60-an sebagai kod pakaian dan menyaksikan suasana lebih ‘tradisional’ dan unik.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Jurani John @ Jamlee berkata
karnival yang diadakan ini sangat menyeronokkan sekali gus menyemarakkan lagi rasa cintakan negara dan mengimbas kembali permainan tradisional yang semakin dilupakan.

“Kami sangat teruja, karnival ini sangat menyeronokkan disamping memperkenalkan kepada pelajar-pelajar sekolah jenis-jenis permainan kanak-kanak pada zaman dahulu sebelum wujudnya gadjet,” katanya.

Jurani berkata, memilih tema 60-an sempena menyambut Tahun Kemerdekaan yang ke-67 mengingatkan kembali pada zaman 60-an dan memberi peluang kepada ibu bapa dan guru-guru berpakaian ala-ala tahun era 60-an.

“Selain itu, karnival yang dianjurkan ini juga dapat mengeratkan hubungan silahturahim dalam kalangan guru, staf, ibu bapa dan murid serta mewujudkan suasana yang ceria dan gembira setelah penat bekerja dan belajar,” tambahnya.

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular