HomeIsu tempatanPenduduk Gesa Kerajaan Segera Selesai Masalah Air

Penduduk Gesa Kerajaan Segera Selesai Masalah Air

Read Time:1 Minute, 41 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: “Kami mahu mengambil wuduk untuk solat pun susah, apa lagi mahu buat aktiviti harian seperti memasak, cuci pakaian termasuklah mandi,” kata Dexter Silam,43.

Beliau yang tinggal di University Condo Apartment (UCA) 2 di Jalan Tuaran Lama disini mengakui kawasan perumahannya mengalami masalah bekalan air yang teruk selain berlarutan sejak beberapa bulan yang lalu.

Katanya, lebih perit lagi apabila penduduk UCA2 berdepan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula 21 Ogos hingga 3 September yang lalu.

Dexter yang mula menetap di kawasan perumahan itu sejak 2014 berkata, tahap kesabarannya terhadap permasalahan itu telah melebihi tahap maksima dan yakin ada penduduk lain juga berasa demikian.

“Setiap hari air akan dicatu sejak bulan Jun lalu bermula jam 5 pagi hingga 10 pagi , tetapi masa tersebut tidak tentu, kadang-kala tiada ada air pun diterima.

“Saya difahamkan pihak pengurusan juga mengharapkan bekalan air dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk mengisi ke tangki utama perumahan namun JANS juga menghadapi masalah untuk menyalurkan air yang tidak diketahu apa punca sebenarnya,” katanya kepada Sabah Media disini hari ini.

Beliau berkata, pihak pengurusan perumahan turut menyediakan bekalan air namun tidak mencukupi utuk menampung kira-kira lebih 2,000 penghuni di UCA2.

“Kami dimaklumkan hanya sebuah lori membawa dua buah tangki air sehari untuk diagihkan kepada kira-kira lebih 2,000 penghuni disini, memang tidak munasabah untuk menampung keperluan harian penduduk.

“Paling menyedihkan isu bekalan air ini sudah lama di Sabah khususnya di kebanyakkan daerah di negeri ini. Banyak pembangunan telah didirikan dengan gah tetapi masalah bekalan air tidak pernah ada jalan penyelesaiannya,” katanya.

Dexter yang melanjutkan pengajian dalam Doctor of Philosophy (PhD) secara sepenuh masa di Universiti Malaysia Sabah (UMS) berharap agar pihak berwajib dapat segera menangani masalah bekalan air demi kemudahan penduduk untuk menjalani kehidupan seharian.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan kita untuk menjaga kebersihan diri, namun sekiranya bekalan air pun tiada, bagaimana kita untuk menjaga kebersihan, bukan sahaja jangkitan COVID-19, namun banyak lagi penyakit lain akan menjangkiti kita,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular