HomeUtamaPersiapan Hari Malaysia 2024 berjalan lancar

Persiapan Hari Malaysia 2024 berjalan lancar

Read Time:1 Minute, 36 Second

Kota Kinabalu : Persiapan Hari Malaysia 2024 Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Padang Merdeka 16 September ini berjalan lancar dengan hampir 80 peratus persiapan merangkumi pelbagai aspek telah dilaksanakan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata baki persiapan sebanyak 20 peratus lagi akan lengkap sepenuhnya pada Isnin depan.

“Pelbagai acara dan program-program sudah diatur begitu banyak serta unik dan bakal dilaksanakan bagi menyemarakkan semangat dalam kalangan pengunjung.

“Kita berharap semua rakyat khususnya di Sabah hadir ke Padang Merdeka bagi menyaksikan pelbagai program yang sudah disediakan.

“Tahun ini Sabah merupakan tuan rumah bagi Sambutan Hari Malaysia jadi kita berpeluang meraikan bersama Perdana Menteri, Premier Sarawak dan kerajaan negeri serta semua pemimpin di seluruh Malaysia akan hadir di sini merayakan bersama-sama rakyat, oleh itu kita akan berusaha sebaik mungkin agar sambutan tersebut akan berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai sesi temubual dalam segmen Kita Cerita #Kitakongsi di konti SABAHfm di sini semalam.

Christina berkata, pihaknya turut berharap Sambutan Hari Malaysia dapat disambut dengan lebih bermakna khususnya bagi menyematkan jiwa merdeka dalam setiap individu dalam memastikan semangat kebebasan dan cinta tanah air terus hidup dan berkembang sekali gus menjadikan ia sebagai satu hari yang menyediakan Malaysia ke arah masa depan lebih sejahtera.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024 turut menyeru agar orang ramai hadir bersama-sama dalam memeriahkan sambutan yang sangat istimewa itu kerana ia dapat menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan rakyat.

“Kita meraikan hari istimewa ini bersama-sama tidak kira dari mana sama ada dari Semenanjung, Sarawak atau Sabah agar kita ingat perpaduan adalah penting kerana sebagai rakyat Malaysia kita bersama sebagai satu rumah satu negara,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Penyiaran Sabah, Salmah Hashim dan Timbalannya Cyril Simon, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat (BMKK), Jabatan Penerangan Sabah (JaPen), Dr. Diana Dominic serta Penolong Pengarah BMKK JaPen Sabah, Siti Mariam Aziz Rashid.

RELATED ARTICLES
Utama

Tambah baik jejantas Petagas bakal tingkat keselamatan penduduk – Shahelmey

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular