HomeUtamaSabah antara enam penyumbang terbesar KDNK Malaysia 2023

Sabah antara enam penyumbang terbesar KDNK Malaysia 2023

Read Time:3 Minute, 25 Second

Kota Kinabalu: Hasil yang direkodkan Sabah sebanyak RM7 bilion pada tahun lalu telah menjadikan negeri ini menjadi antara enam negeri teratas yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia 2023.  

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, angka yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada bulan Julai menunjukkan bahawa Sabah menyumbang 5.5 peratus kepada KDNK negara tahun lalu.  

“Bersama dengan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang, Sabah menyumbang sebanyak 73 peratus kepada ekonomi negara.  

“Hanya tahun lalu, kami menerima pelaburan sebanyak RM11.34 bilion, yang ketujuh tertinggi di Malaysia, dengan 13.3 peratus daripada sektor pembuatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Dunia Kelapan (ESTCON) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.  

Hadir sama Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Sabah dipilih buat kali pertama menjadi tuan rumah ESTCON dengan lebih 1,000 peserta dari 25 negara dan ia dianjurkan  Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan PETRONAS.

Hajiji berkata Sabah mesti mempunyai institusi pendidikan tinggi yang berkualiti untuk menyediakan kelayakan cemerlang dalam bidang berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk pelajar Sabah.

Ini kerana katanya,  Kerajaan Negeri telah menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar sekolah mendaftar dalam aliran sains menjelang tahun depan.  

Katanya lagi, untuk generasi muda yang akan memimpin kemajuan Negeri pada masa hadapan, ia memerlukan usaha kolektif bukan sahaja daripada Kerajaan Negeri tetapi juga semua pihak berkepentingan untuk terus menyokong dan membantu belia dalam setiap aspek pembangunan mereka.  

“Kerajaan negeri sedar bahawa adalah penting pendidikan tinggi yang berkualiti disediakan untuk generasi muda kita.

“Ia Lebih-lebih lagi dalam era ini, di mana sains dan teknologi adalah pemacu utama kemajuan, adalah penting sebahagian besar populasi pelajar di Sabah melibatkan diri dalam pendidikan STEM.  

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi negeri telah menyediakan Pelan Strategik 2022-2025 sebagai panduan untuk melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi memperkasakan ekosistem sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) di Sabah,” katanya.  

Dalam pada itu, Hajiji berkata, dalam inisiatif pendigitalan, Sabah sedang meneruskan visinya untuk mencapai ekonomi digital yang maju, dengan berusaha mempercepatkan inisiatif transformasi digital di Sabah.  

“Pada November tahun lalu, kami telah menandatangani perjanjian dengan Huawei Technologies Malaysia di Ibu Pejabat Huawei di Shenzhen, China, yang bertujuan untuk memperkasakan negeri dan rakyat kita untuk meraih manfaat daripada inovasi teknologi, memacu pertumbuhan ekonomi dan perkhidmatan awam yang lebih baik.  

“Ini akan meliputi sektor pertanian, pembuatan pintar di bawah Industri 4.0, pelancongan, perancangan bandar pintar, e-dagang, infrastruktur digital, keterhubungan inklusif dan kerajaan digital. 

“Usaha kerjasama ini akan merangkumi pelaksanaan perkhidmatan digital yang sedia AI dan berasaskan data untuk kerajaan, perniagaan dan masyarakat,” katanya.  

Hajiji berkata, di bawah inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya, Kerajaan Negeri melancarkan Digital Internet of Things (IoT) Sandbox pada tahun 2022 sebagai sebahagian daripada peta pembangunan.  

“Ia menyediakan persekitaran yang selamat untuk usahawan digital dan inovator mencipta produk mereka dan menguji kebolehannya. Kami melihat kuasa transformasi teknologi digital dalam sektor seperti pertanian, perlombongan, dan pelancongan,” katanya.  

Hajiji juga berkata Sabah melabur besar dalam sektor tenaga, yang meliputi sumber tradisional seperti bahan api fosil dan pilihan tenaga boleh diperbaharui yang sedang berkembang seperti tenaga suria dan angin.  

“Dengan melabur dalam sektor tenaga, kita akan memastikan bekalan tenaga yang boleh dipercayai sambil turut menyumbang kepada masa depan tenaga yang lebih mampan.

“Walaupun minyak dan gas akan menyediakan aliran hasil penting untuk negeri ini, tumpuan akan diberikan kepada tenaga boleh diperbaharui seperti teknologi solar dan penyimpanan, hidro, geoterma, dan peluang pasaran karbon di Sabah,” katanya.  

Beliau turut memberi jaminan bahawa Sabah akan terus membangunkan infrastruktur tenaga penting, mengurus sumber untuk mengekalkan pertumbuhan.  

“Peta Jalan Tenaga Sabah dan Pelan Induk 2040 (Sabah Energy RAMP 2040), yang saya lancarkan tahun lalu, akan membimbing kita secara strategik ke arah masa depan. Tetapi kejayaannya memerlukan sokongan penuh daripada kedua-dua pihak awam dan swasta untuk mengarahkan Sabah ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan,” katanya.   – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular