HomeUtamaPenjawat awam, swasta digalak pakai baju batik motif Sabah

Penjawat awam, swasta digalak pakai baju batik motif Sabah

Read Time:1 Minute, 46 Second

Kota Kinabalu: Penjawat awam dan swasta di negeri ini digalak untuk memakai baju batik yang bermotifkan corak tempatan Sabah pada setiap Khamis.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata, penggunaan batik bermotifkan lokal Sabah itu merupakan langkah terbaik bagi mengekalkan tradisi seterusnya mampu mempromosikan produk tempatan.

“Saya mengajak semua pegawai kerajaan dan pekerja swasta menggunakan baju-baju batik tempatan negeri ini sebagai satu cara kita untuk ketengahkan produk tempatan kepada masyarakat luar.

“Terdapat pelbagai motif menarik yang ada pada batik kita antaranya bunga Rafflesia, Periuk Kera dan sebagainya yang harus kita kekalkan sebab ia merupakan tradisi kita.

“Jadi, saya menggalakkan kepada pengusaha batik dan kraf tradisi tempatan seperti manik serta tenunan agar lebih kreatif dalam membuat serta menghasilkan produk yang menarik dan berkualiti untuk diperagakan kepada orang luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena majlis penganjuran Festival Kraf Borneo (FKB) 2024 di Pusat Beli-Belah 1Borneo di sini baru-baru ini.

Jefrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah menyarankan para pengusaha melaksanakan program atau latihan-latihan sebagai langkah memperkenalkan produk masing-masing.

“Yang perlu kita buat adalah promosi dan pemasaran yang berkesan, jadi saya menyeru pengusaha-pengusaha kraf kita ini menyertai program dan latihan yang berkenaan sebagai saluran menjual produk selain menambah kepakaran menghasilkan kraftangan.

“Sepertimana yang kita lihat di pentas tadi, anak-anak muda kita telah menjadi model dalam mempamerkan baju-baju tradisi, ini sekali gus satu cara mempromosikan kraf tangan, kita kena kembangkan dengan memberikan mereka latihan, dorongan dan paling penting sokongan dari pelbagai pihak termasuk kerajaan,” katanya.

Pada majlis tersebut Jeffrey turut menyampaikan sijil penghargaan Rakan Strategik FKB kepada 11 jabatan dan agensi yang terlibat menjayakan penganjuran FKB 2024.

Antaranya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Sabah, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah, Jabatan Penyiaran (RTM) Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Jabatan Arkib Negeri Sabah.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk Ainu Sham Ramli dan Timbalan (pembangunan), Abdul Halim Ali, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah, Abdul Rahman Omar dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Sabah, Ibrahim Othman.

RELATED ARTICLES
Utama

Gagasan Rakyat Lumadan berdiri teguh sokong Hajiji sebagai Ketua Menteri selepas...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular